'Arwah peramah, aktif dalam komuniti' - Jiran terkejut pemergian Nadia Kesuma

Iklan
Tinjauan Sinar Harian di kediaman Allahyarham mendapati pintu rumah berkunci serta tidak berpenghuni. Gambar kecil: Syahrizal

KEPALA BATAS - Penduduk di Putra Villas Townhouse di sini terkejut dengan berita kematian pelakon, Nadia Kesuma atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim kerana beliau disifatkan seorang jiran yang peramah dan mudah mesra dengan masyarakat setempat.

Seorang penduduk, Syahrizal Ibrahim, 46, berkata, dia hanya mengetahui mengenai kematian jirannya itu pada pagi Ahad selepas membaca berita di media sosial.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejiranan di sini telah mengadakan majlis bacaan surah Yasin dan solat hajat pada malam Sabtu sebagai ikhtiar mendoakan pelakon itu ditemukan semula dalam keadaan selamat.

"Kami menyangka kehilangannya hanya sementara dan dia akan ditemui semula. Jadi memang terkejut apabila baru dapat tahu yang Nadia sudah meninggal dunia.

Iklan

"Sebelum ini kami dengar dia hilang di kawasan lapangan terbang, tetapi kes itu seolah-olah tiada petunjuk jelas sehingga berita yang mengesahkan dia sudah tiada pada pagi ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad .

Nadia Kesuma dilaporkan meninggal dunia akibat sakit jantung di Jeddah.

Iklan

Syahrizal berkata, keluarga Allahyarham telah menetap di kawasan perumahan itu sejak lebih lima tahun lalu dan sering dilihat beriadah pada waktu petang.

Katanya, Allahyarham juga aktif menyertai pelbagai program komuniti yang dianjurkan di kawasan perumahan termasuk jamuan hari raya serta aktiviti lain.

"Memang selalu nampak dia berjoging pada waktu petang sambil berbual dengan jiran-jiran.

"Kadang-kadang dia berjalan mengelilingi kawasan perumahan bersama suami dan anak-anak. Arwah memang seorang yang peramah, senang berbual," katanya lagi.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, tanda tanya mengenai kehilangan Nadia Kesuma sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah terungkai apabila pelakon itu dilaporkan sudah meninggal dunia dipercayai akibat sakit jantung pada Khamis lalu.

Perkara itu disahkan anak perempuan dan suami Allahyarham, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah di media sosial masing-masing.

Nadia yang pernah membintangi filem Syaitan Munafik dan Kudeta, sebelum ini dilaporkan hilang tanpa dapat dikesan sejurus tiba di Jeddah pada Rabu lalu.

Allahyarham adalah antara 21 jemaah yang menyertai kumpulan umrah dan ziarah bersama sebuah agensi pelancongan dari 14 hingga 28 Januari ini.

Sementara itu, tinjauan di kediaman arwah mendapati rumah berkenaan berkunci dan tidak berpenghuni.

Difahamkan, suami serta anak-anaknya telah berlepas ke Jeddah bagi mengikuti perkembangan terkini serta urusan pengebumian pelakon itu di sana.