KOTA BHARU - Polis Kelantan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) akan merobohkan 71 lagi pangkalan haram di Sungai Golok bermula 25 Januari ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, jumlah tersebut adalah baki daripada 96 pangkalan haram berstruktur yang akan dirobohkan.
"Jumlah kesemua pangkalan haram ialah 223 buah, namun kita fokus kepada pangkalan haram yang berstruktur iaitu mempunyai tangga, jeti, dan sebagainya untuk robohkan terlebih dahulu.
"Insya_ALLAH kesemua pangkalan haram ini akan siap dirobohkan sebelum Mac ini," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.
Sebelum itu beliau merasmikan Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Menurut beliau, pihaknya telah mendapat peruntukan khas daripada kerajaan untuk tugasan terbabit.
Ujarnya, ini kerana gerak kerja perlu dilakukan melalui dalam sungai kerana laluan di daratan sukar diakses.
"Sebab itu kita perlukan peruntukan khas dan ia telah diluluskan. Diharap proses ini akan berjalan lancar," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan aktiviti perobohan kesemua 223 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat sehingga ke Jeli bermula pada 28 Oktober lalu.
Perobohan tersebut dijangka akan mengambil masa dalam tempoh dua bulan dan dilakukan secara berperingkat.