Lori terbabas, dua pekerja ladang maut

Iklan
Keadaan lori terbabit nahas di Jalan Selancar-Redong meragut dua nyawa warga Bangladesh pada Sabtu. - Foto Polis Rompin

ROMPIN - Dua pekerja ladang sawit warga Bangladesh maut selepas lori dinaiki bersama dua rakan senegara terbabas ketika cuba memotong kenderaan lain di Jalan Selancar-Redong di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 2.25 petang itu, mangsa, Md Kader, 34, dan Md Dalim, 30, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seorang lagi penumpang,Mohamad Askar, 41, cedera parah di bahagian kepala manakala pemandu lori, Kiron, 45, tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan awal mendapati, kesemua mangsa beralamat dari Segamat, Johor itu dipercayai menaiki lori milik majikan dalam perjalanan dari arah Felda Redong menghala ke Felda Selancar.

Iklan

"Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu lori dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum hilang kawalan dan terbabas ke bahu sebelah kiri jalan," katanya.

Sharif Shai berkata, akibat dari kemalangan tersebut, lori jenis Daihatsu V57A membawa muatan racun sawit terbalik.

Iklan

"Dua mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat.

"Seorang lagi mangsa di hantar ke Hospital Segamat untuk menerima rawatan," katanya.

Jelasnya, hasil semakan mendapati keempat-empat mangsa memiliki dokumen perjalanan namun pemandu dipercayai tiada lesen memandu manakala lori digunakan cukai jalan tamat tempoh.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Tindakan akan diambil terhadap pemilik lori kerana membenarkan kenderaan dipandu pemandu tiada lesen," ujarnya.