KUALA LUMPUR - UMNO mesti sedia berjalan sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) walaupun parti itu kini berada dalam kerajaan.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, bagaimanapun beliau tidak menafikan wujud pihak yang bersetuju dan tidak berhubung pandangan tersebut.
“Pengajaran perlu diambil apa yang berlaku di Sabah. Jadikan PRN sebagai model jelas berprinsip dan berpaksikan kekuatan sendiri.
“Kita boleh berkawan dan bekerjasama dengan sesiapa sahaja tetapi mesti memastikan UMNO tidak hilang dan dipinggir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan Ketua Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini pada Sabtu.
Tambah Nurul Amal, pada 80 tahun lalu UMNO berjaya menyatukan bangsa di bawah satu bumbung.
Jelasnya, oleh itu Puteri UMNO menyahut seluas-luasnya usaha penyatuan bangsa.
“Kami puteri menyambut baik usaha penyatuan bangsa, kita percaya negara ini memerlukan proses penyatuan semula yang jujur dan matang.
“Dalam masa sama, kami berbesar menerima kembali mereka yang ingin bersama parti,” ulasnya.