IPOH - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berhasrat meletakkan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang menerusi kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN).
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, pihaknya berharap dapat mencapai persetujuan dengan parti-parti komponen PN bagi membolehkan Pejuang turut menawarkan calon pada pilihan raya berkenaan.
Menurutnya, jumlah kerusi yang disasarkan tidak besar sebaliknya Pejuang bersedia menerima keputusan kepimpinan PN berhubung pembahagian kerusi.
“Insya-ALLAH, kita harap akan mencapai persetujuan dalam kalangan parti-parti lain untuk Pejuang turut menawarkan calon.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Tahunan Pejuang Negeri Perak 2026 di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Mukhriz berkata, perbincangan tidak rasmi dalam kalangan parti yang bekerjasama di bawah PN sudah bermula sebagai persiapan menghadapi PRN Melaka.
Bagaimanapun, katanya, kedudukan gabungan itu masih menjadi perhatian susulan isu keabsahan PN yang sedang dalam pertimbangan mahkamah.
Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi yang dijangka diketahui pada 22 Oktober ini turut menjadi antara perkara yang dinantikan.
“Walau apa pun kesudahannya berhubung PN ini, kita sebagai gabungan parti politik yang bekerjasama tetap akan bertanding dalam PRN Melaka.
“Soal sama ada kita boleh menggunakan lambang PN atau tidak adalah perkara kedua, tetapi PN atau parti-parti anggotanya tetap akan bersama-sama bertanding,” katanya.
Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, Pejuang sebelum ini memutuskan bahawa parti itu tidak boleh bergerak secara bersendirian dan perlu menjadi sebahagian daripada gabungan politik.
Katanya, Pejuang telah dua kali memohon untuk menyertai PN sebelum permohonan itu akhirnya diterima.
Menurutnya, kerjasama pertama Pejuang bersama PN berlangsung pada PRN Johor apabila parti itu turut menawarkan calon, manakala di Negeri Sembilan, Pejuang bergerak bersama rakan gabungan berkenaan walaupun tidak bertanding.
Justeru, katanya, Pejuang berharap kerjasama sama dapat diteruskan di Melaka, termasuk melalui penyertaan calon parti itu sekiranya dipersetujui kepimpinan PN.
Beliau menegaskan, Pejuang akan tetap membantu kempen bersama parti-parti komponen lain tanpa mengira keputusan pembahagian kerusi yang dicapai kelak.