KUALA LUMPUR - Pembangunan di Pulau Pinang ketika ini didakwa semakin tidak terkawal sehingga menghimpit kawasan perkampungan orang Melayu di negeri berkenaan.
Perwakilan Pulau Pinang, Datuk Mohd Noor Ahmad berkata, situasi itu merupakan antara cabaran dan rintangan yang perlu dilalui Barisan Nasional (BN) apabila tidak lagi berkuasa selepas pasca pilihan raya umum (PRU) 2008 lalu.
“Saya dan beberapa pemimpin Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang pada tahun 2008 lagi saling berbincang dengan pembangunan tidak terkawal ini, kelak akan menghakis status beberapa kawasan ‘Parlimen Melayu.
“Contohnya, Bayan Baru pada 1990 dahulu dianggap Parlimen Melayu dan memang Melayu jadi wakil rakyat di sana. Pada tahun 2008 pun, masih lagi seorang Melayu jadi wakil rakyat di kawasan Parlimen itu.
“Sekarang? Pembangunan tidak terkawal akhirnya menghakis status Bayan Baru sebagai Parlimen Melayu? Dengan melihat pembangunan tak terkawal di Kepala Batas, Tasek Gelugor, Balik Pulau, Permatang Pauh, Nibong Tebal, paling bimbang akan menghakis status kawasan Parlimen Melayu seperti Bayan Baru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, pada Sabtu.
Melihat kepada situasi membimbangkan itu, Mohd Noor meminta agar Ahmad Zahid melihat keperluan sekiranya terdapat cadangan untuk melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya dalam penggal pentadbiran pilihan raya kali ini.
“Kalau nak wujudkan kawasan Parlimen baharu, jangan biarkan hanya kawasan Parlimen ‘bukan Melayu’ sahaja pecah sempadan, sebab ia akan menyumbang pada tambah representasi wakil parti mereka dalam kerajaan.
“Pastikan kawasan-kawasan Parlimen Melayu sasaran kita pun membawa pada wujudnya lebih banyak kawasan parlimen Melayu..biar benar-benar mencerminkan representasi populasi sebenar Melayu di Parlimen,” katanya.
Beliau menambah, sekiranya perkara tersebut tidak boleh dilaksanakan, beliau menggesa supaya UMNO menolak syor persempadanan semula tersebut.