e-Bid pecah rekod RM91.2 juta, separuh 'hadiah' untuk pemandu teksi, kereta sewa

Iklan

SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan (MoT) akan menggunakan sebahagian daripada kutipan keseluruhan bernilai RM91.21 juta yang diperoleh menerusi bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri 'H' untuk membantu pemandu teksi dan kereta sewa di seluruh negara minggu depan.

Menterinya, Anthony Loke berkata, bantuan yang akan diberikan kepada kumpulan itu dibuat memandangkan nombor siri berkenaan pada asalnya untuk pendaftara teksi.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, bidaan bagi nombor istimewa itu juga turut memecahkan rekod kutipan hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk satu siri nombor pendaftaran melalui sistem JPJeBid.

"Separuh daripada hasil ini akan masuk Akaun Hasil Disatukan untuk Kerajaan Persekutuan. Separuh lagi untuk membiayai inisiatif MoT yang berorientasikan rakyat.

Iklan

"H ini asalnya nombor pendaftaran untuk teksi. Maka, dengan hasil yang lumayan ini, MoT akan gunakan wang ini untuk bantu pemandu teksi dan kereta sewa dari seluruh negara.

"Akan ada berita baik untuk pemandu teksi minggu depan," katanya menerusi hantaran di media sosial pada Isnin.

Iklan

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, nombor pendaftaran H1 mencatat nilai mencecah RM10.7 juta dalam bidaan nombor pendaftaran siri H yang diperkenalkan JPJ.

Bidaan bagi siri H1 hingga H9999 dibuka menerusi sistem JPJeBid bermula 16 hingga 20 September sebelum keputusan bidaan diumumkan pada 21 September.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, siri H diperkenalkan sempena sambutan Hari Malaysia dan merupakan siri nombor pendaftaran khas menggunakan huruf tunggal terakhir yang ditawarkan JPJ.

Huruf H dipilih sebagai simbolik kepada perkataan ‘harmoni’, selaras dengan mesej perpaduan dan keharmonian sempena sambutan Hari Malaysia.

Sebelum ini Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli dilapor berkata, huruf H dipilih kerana sinonim dengan perkataan 'harmoni’, sekali gus membawa simbolik keharmonian masyarakat dan negara sempena Hari Malaysia.