PRK Kinabatangan: Fasiliti kesihatan sangat mendesak, perlu ditambah - Goldam

Iklan
Goldam bertemu dengan penduduk di Bukit Garam pada Jumaat.

KINABATANGAN - Disamakan keluasan seperti negeri Pahang, Parlimen Kinabatangan kini terdesak memerlukan kemudahan kesihatan yang lebih banyak dan mencukupi bagi menampung keperluan penduduknya.

Calon bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan, Goldam H Salangah berkata, ketika ini kawasan itu hanya memiliki sebuah hospital dan enam klinik kesihatan sahaja. 

Iklan
Iklan

Menurutnya, jumlah tersebut tidak memadai untuk menampung lebih 164,300 penduduk di Kinabatangan, berdasarkan statistik 2024.

"Berdasarkan data statistik lokal tahun 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 1 Disember 2025, Kinabatangan hanya memiliki enam klinik kesihatan dan sebuah hospital.

Iklan

"Jika dibandingkan dengan Parlimen Kudat, demografinya seramai 93,100 orang. Namun memilki sebuah hospital dan 15 klinik," katanya selepas bertemu dengan penduduk di Bukit Garam di sini pada Jumaat.

Goldam menekankan bahawa isu akses kesihatan adalah antara rungutan utama pengundi di kawasan itu, khususnya penduduk Kampung Bilit di Sukau.

Iklan

"Mereka memaklumkan, terpaksa pergi ke Pekan Sukau ataupun ke Bukit Garam kira-kira 20 hingga 60 kilometer walaupun hanya untuk mendapatkan ubat," katanya.

Tegasnya, masalah kekurangan kemudahan kesihatan adalah antara perkara yang akan diperjuangkannya sekiranya terpilih sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan.

Goldam berdepan dengan persaingan tiga penjuru melibatkan calon dari Barisan Nasional (BN) iaitu anak bekas penyandang Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman mewakili Parti Warisan (Warisan).

PRK diadakan susulan penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia pada 5 Disember lalu akibat komplikasi buah pinggang dan paru-paru.