15 Jun pendengaran rayuan terhadap keputusan bebas Yusoff Rawther

Iklan
Muhammed Yusoff Rawther. Foto: Bernama

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan 15 Jun untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan bekas pembantu penyelidik kepada seorang ahli politik Muhammed Yusoff Rawther daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pucuk pistol tiruan.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mengesahkan tarikh itu kepada Bernama yang ditetapkan pada pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mahyudin Mohmad Som hari ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihak pendakwa raya diarahkan untuk memfailkan petisyen rayuan selewat-lewatnya 9 Februari dengan pihak-pihak perlu memfailkan hujahan bertulis masing-masing selewat-lewatnya 15 Mei dan jawapan kepada hujahan pada 29 Mei.

Pada 12 Jun tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Muhammed Yusoff, 33, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya pada akhir kes pendakwaan.

Iklan

Pihak pendakwaan seterusnya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Muhammed Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret pada 12 September 2024 atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram yang didakwa ditemukan dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 10.15 pagi 6 September 2024.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa atas pertuduhan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada 9.25 pagi pada tarikh sama. - Bernama