BESUT – Tindakan seorang lelaki warga Pakistan cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan membawa muatan rokok seludup menggunakan sebuah kereta gagal apabila dia ditahan anggota Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) awal pagi Khamis.
Suspek berusia 34 tahun itu ditahan dalam rondaan rutin Op Taring Alpha 1 di kawasan Jeti Kuala Besut di sini kira-kira jam 5.30 pagi selepas mengesan pemandu itu memandu kenderaan dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut membawa kepada penemuan kotak-kotak coklat di bahagian belakang pemandu yang berisi ribuan batang rokok putih.
"Sebanyak 50,000 batang rokok bernilai RM90,000 dirampas dan kita turut menyita kenderaan yang digunakannya dalam kegiatan itu.
"Hasil soal siasat ke atas lelaki tersebut membawa kepada serbuan sebuah lagi premis kedai runcit di Jalan Gertak Seratus, Kampung Alor Peroi di sini kira-kira setengah jam kemudian," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Menurut Ahmad Radzi, dalam serbuan susulan itu pihaknya menemukan 36,200 batang rokok putih bernilai RM65,160 menjadikan nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan daripada rangkaian tersebut mencecah RM175,170.
Katanya, kesemua barangan rampasan termasuk suspek telah dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.
"Suspek kini ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
"Kejayaan dalam operasi ini membantu memutuskan rantaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai yang aktif di sekitar kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia," katanya.