JAKARTA – Nilai tukar rupiah mencatat paras terlemah sepanjang sejarah apabila ditutup pada 16,880 rupiah bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, sekali gus mengatasi rekod terdahulu yang direkodkan pada April 2025.
Memetik laporan CNBC Indonesia, data Refinitiv menunjukkan rupiah susut 0.15 peratus pada dagangan 15 Januari 2026, menandakan tekanan berterusan terhadap mata wang Indonesia sejak awal tahun ini.
Daripada 10 hari dagangan sepanjang 2026, rupiah hanya mencatatkan pengukuhan sekali, manakala selebihnya terus tertekan akibat pengukuhan dolar AS di pasaran global.
Secara keseluruhan, rupiah telah melemah 1.26 peratus setakat tahun ini.
Menurut laporan itu, kejatuhan nilai mata wang memberi kesan langsung kepada struktur ekonomi Indonesia yang masih bergantung kepada import, khususnya bagi bahan mentah dan barangan perantaraan.
Data Badan Pusat Statistik (BPS) menunjukkan lebih 70 peratus import Indonesia sepanjang Januari hingga November 2025 terdiri daripada bahan mentah dan barang perantaraan.
Keadaan tersebut meningkatkan risiko inflasi import, apabila kos bahan mentah dan komponen meningkat lalu mendorong pengeluar menaikkan harga bagi mengekalkan margin keuntungan.
Tekanan ini dijangka paling ketara dalam sektor pembuatan dan perindustrian.
Dalam masa sama, pelemahan rupiah turut memberi tekanan kepada kewangan negara.
CNBC Indonesia melaporkan bahawa jumlah hutang luar negara Indonesia mencecah AS$423.8 bilion (RM1.7 trilion) pada November 2025, dengan lebih satu pertiga daripadanya dalam denominasi dolar AS.
Penyusutan nilai rupiah bermakna kos pembayaran faedah dan hutang pokok akan meningkat dalam mata wang tempatan, sekali gus membebankan fiskal kerajaan.
Selain itu, kos import tenaga seperti minyak mentah dan bahan api turut meningkat, berpotensi menambah beban subsidi dan melebar defisit belanjawan.
Dari sudut dunia perniagaan, syarikat yang bergantung kepada bahan mentah import, termasuk industri automotif, elektronik dan farmaseutikal, berdepan peningkatan kos operasi.
Syarikat yang mempunyai hutang dalam mata wang asing tanpa perlindungan nilai pula terdedah kepada kerugian pertukaran asing.
Bagaimanapun, pengeksport komoditi seperti minyak sawit mentah (CPO), arang batu dan nikel berpotensi meraih manfaat kerana hasil eksport dalam dolar memberikan pulangan lebih tinggi apabila ditukar kepada rupiah.
Tekanan terhadap rupiah turut mengehadkan ruang Bank Indonesia untuk melonggarkan dasar monetari.
Sepanjang 2025, bank pusat telah menurunkan kadar faedah sebanyak 125 mata asas kepada 4.75 peratus, namun penurunan lanjut pada 2026 dilihat semakin sukar ketika nilai mata wang terus tertekan.
Di peringkat pengguna, pelemahan rupiah dijangka menjejaskan daya beli rakyat susulan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan, khususnya jika kos bahan api dan logistik turut meningkat.
Walaupun nilai mata wang yang lemah berpotensi menarik lebih ramai pelancong asing kerana kos perbelanjaan menjadi lebih murah, laporan CNBC Indonesia menyifatkan manfaat tersebut masih belum mencukupi untuk mengimbangi tekanan inflasi dan risiko perlahan pertumbuhan ekonomi dalam jangka sederhana. - Agensi