Penyatuan Rumah Bangsa bukan amaran buat komponen Kerajaan Perpaduan - Wan Rosdy

Iklan
Wan Rosdy

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menolak tafsiran cadangan Penyatuan Rumah Bangsa sebagai amaran kepada rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

Sebaliknya Menteri Besar Pahang itu menegaskan, cadangan tersebut sebagai pendekatan terbaik untuk penyatuan bangsa dan Melayu khususnya.

Iklan
Iklan

"Saya tidak dengar pun Presiden kata amaran. Presiden cuma kata seelok-eloknya, cara yang terbaik.

"Ucapan itu ucapan terbuka, (mengenai) penyatuan bangsa. UMNO ini rumah terbuka, rumah bangsa terbuka,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Jumaat.


Iklan

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasar perhimpunan itu mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula bekas ahli parti itu.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) memaklumkan, penyertaan semula itu boleh dilakukan secara individu atau en bloc (serentak).

Iklan

Dalam pada itu, Wan Rosdy menjelaskan, pengumuman tersebut dilihat sebagai strategi terbaik untuk memperkukuhkan kedudukan parti.

"Kita harap ini akan menguatkan lagi UMNO, Melayu, Islam dan negara.

"(Penyertaan) Dalam jawatankuasa itu amat dialu-alukan," ujarnya.