PETALING JAYA - Kegiatan pengedaran produk ubat kuat, kosmetik dan ubatan termasuk makanan serta minuman bernilai lebih RM900,000 dari negara jiran ditumpaskan menerusi serbuan di sebuah premis di Taman Medan di sini Selasa lalu.
Serbuan kira-kira jam 1.30 petang dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang hasil aduan awam dan risikan.
Pemangku Komander PPM Wilayah Satu, Superintenden Fakhruddin Amri Sanusi berkata, pemantauan telah dilakukan kira-kira 20 minit sebelum serbuan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas barang dianggarkan bernilai RM910,750 yang ditemui itu disyaki tiada kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
'Semasa pemeriksaan terdapat seorang wanita berusia 48 tahun yang mengaku sebagai pemilik permis tersebut.
"Wanita itu gagal mengemukakan semua dokumen daripada KKM," katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai telah aktif selama dua tahun.
Kata beliau, barang rampasan telah diserahkan kepada KKM untuk disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Akta Makanan 1983.