BAHAYA dadah bukan lagi cerita pinggiran, tetapi realiti yang menyusup masuk ke dalam kehidupan masyarakat sehingga mampu menghancurkan masa depan, akal dan hubungan kekeluargaan.
Ia bukan sekadar bahan terlarang, tetapi racun yang merosakkan jiwa sehingga penagih hilang pertimbangan, menjadi agresif, berhalusinasi dan akhirnya membahayakan diri sendiri serta orang lain.
Dalam banyak kes, keluarga menjadi benteng terakhir yang menyaksikan perubahan anak atau cucu dari seseorang disayangi kepada individu tidak lagi mampu mengawal tindakan.
Dalam situasi begitu, timbul satu persoalan besar mampukah kita menjadi seperti seorang datuk di Kedah yang tular baru-baru ini kerana sanggup melapor cucunya sendiri kepada pihak berkuasa demi mendapatkan bantuan pemulihan?
Keberaniannya mengundang pelbagai reaksi, namun apa yang jelas ialah warga emas berusia 75 tahun dari Tanjung Dawai, Sungai Petani itu memilih jalan paling sukar tetapi paling bertanggungjawab.
Tindakan itu bukan dipacu oleh kemarahan atau putus asa, tetapi oleh cinta matang dan kemahuan untuk menyelamatkan cucu kesayangannya daripada terus hanyut.
Keberanian warga emas melaporkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) terbabit turut mendapat perhatian dan pujian daripada Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Baginda bertitah, tindakan datuk berusia 75 tahun berkenaan membuktikan kasih sayang sebenar apabila sanggup mengetepikan perasaan demi menyelamatkan cucunya daripada terus terjerumus dalam masalah lebih serius.
Bagaimanapun, persoalan yang perlu direnung oleh masyarakat ialah mampukah kita melakukan perkara yang sama jika diuji?
Ramai mengeluh tentang bahaya dadah, tetapi apabila ahli keluarga sendiri terjerumus, mungkin ada antara kita sering memilih diam, menutup cerita atau menyelesaikan secara keluarga kerana malu atau takut dipandang serong.
Sedangkan dadah tidak mengenal belas kasihan lagi lama dibiarkan, lagi dalam kerosakannya.
Penulis pernah mengikuti operasi bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan walaupun kisah itu sudah agak lama, memori itu masih jelas. Penulis menyaksikan sendiri pelbagai ragam individu yang bergelut dengan ketagihan dadah.
Antara kisah yang tidak dapat dilupakan berlaku sekitar 2014 apabila seorang ibu muda berusia 19 tahun sanggup membawa anak kecilnya sebagai teman melepaskan gian.
Dalam satu kes lain, seorang bapa tergamak membawa anak berusia dua tahun masuk dalam hutan yang menjadi sarang penagihan ketika mengambil bahan terlarang pada 2016.
Penulis juga menyaksikan bahaya dadah terhadap institusi keluarga, apabila melihat seorang anak dan bapanya masing-masing berusia 16 dan 34 tahun bergelumang dengan najis dadah dengan alasan bahan itu mampu meningkatkan tenaga dalam salah satu serbuan diikuti penulis.
Berbalik kepada kes tular itu, tindakan berani warga emas itu seharusnya membuka mata masyarakat bahawa melapor bukan bermakna tidak sayang.
Keberanian seperti itu yang perlu dipupuk dalam keluarga, terutama ketika berdepan ancaman dadah yang kian kompleks.
Semoga kisah itu menjadi cermin kepada masyarakat bahawa kadang-kadang, langkah menyakitkan yang kita ambil hari ini adalah satu-satunya cara untuk menyelamatkan seseorang yang kita sayang esok.
*Nurul Hidayah Hamid ialah wartawan Sinar Harian