TUMPAT - Dua penyeludup sanggup mencampakkan bungkusan gula dan minyak masak paket ke atas jalan raya bagi mengelakkan mereka dicekup oleh anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan dan Pasukan Polis Marin Wilayah 3 di sini pada Khamis.
Timbalan Pengarah KPDN negeri, Aswadi Jaafar berkata, bagaimanapun kedua-dua suspek itu berjaya melarikan diri dalam operasi jam 10.45 pagi.
"Bertindak atas maklumat risikan, anggota bertugas telah mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang disyaki membawa muatan barang kawalan secara tidak sah.
"Semasa pasukan penguat kuasa mengekori kenderaan terbabit, suspek bertindak agresif dengan mencampakkan beberapa bungkusan gula dan kotak minyak masak ke atas jalan raya, dipercayai bagi menghalang pergerakan pasukan serta melupuskan bahan bukti," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kenderaan tersebut kemudiannya dikesan memasuki kawasan Kampung Cherang, Chabang Empat Tok Mek Ngah di sini sebelum berhenti dan pemandu serta kelindan melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.
Ujarnya, usaha mengesan suspek bagaimanapun tidak berjaya.
"Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan berkenaan mendapati sejumlah besar minyak masak bersubsidi dan gula pasir kasar disimpan di dalamnya.
"Pasukan turut berjaya mengutip semula barang kawalan yang dibuang di sepanjang laluan kejadian untuk tujuan pengiraan dan siasatan," katanya.
Menurut beliau, hasil rampasan dianggarkan melibatkan lebih 300 kilogram minyak masak bersubsidi dan 700 kilogram gula pasir kasar, selain sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai digunakan bagi tujuan penyelewengan.
Ujarnya, kesemua barangan disita pasukan serbuan dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Aswadi memberitahu, pihaknya memberi amaran keras bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan, khususnya yang menjejaskan bekalan dan kepentingan rakyat.