PONTIAN -"Tidak sampai setengah jam selepas status penjejak lokasi langsung (live location) kawasan berhampiran Surathani Thailand dikongsikan, saya dapat panggilan suami terlibat nahas."
Demikian kata Siti Fatimah Md Desah, 39, isteri kepada Izzat Izzuddin Onn, 39, yang terkorban selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah trak pikap di daerah Chaiya, Thailand, pagi Rabu.
Siti Fatimah yang bekerja sebagai jurutera memberitahu suaminya menghantar 'live location' itu sebelum memulakan perjalanan untuk pulang ke Malaysia selepas melakukan tunggangan solo sejak seminggu lalu.
"Suami juga sempat berkongsi foto menu sarapan pada jam 9 pagi, sebelum kongsi 'live location' dengan saya. Tidak lama selepas itu, ejen insurans telefon maklumkan suami terlibat nahas dan minta saya ke Thailand.
"Saya naik kapal terbang dari Senai pada sebelah petang dan tiba di Hatyai pada tengah malam," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Semerah di sini pada Khamis.
Jelas Ibu kepada dua cahaya mata itu, jenazah Allahyarham dituntut selepas selesai urusan bedah siasat di Hospital Chaiya, Thailand sebelum dibawa ke sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam kira-kira jam 11 malam.
"Jenazah kemudiannya dibawa ke sebuah masjid di Sungai Petani, Kedah untuk urusan kafan sebelum dibawa pulang ke Pontian pada jam 2.30 pagi.
"Syukur urusan membawa pulang jenazah dipermudahkan dengan bantuan pelbagai pihak," katanya.
Siti Fatimah memberitahu, suaminya seorang yang penyayang dan sering mendahulukan kedua-dua anak mereka iaitu Muhammad Danie, 6, dan Muhammad Daniel, 4 tahun.
Sementara itu, rakan baik Allahyarham, Khairulnizam Ramli, 39, menyifatkan pemergian arwah amat dirasai dalam kalangan rakan-rakan di Pontian.
"Arwah bekerja sebagai penyelia di Singapura, gemar menunggang motosikal dan sering menyertai aktiviti ride.
"Kali terakhir saya bersama arwah ride ke Yala dan Narathiwat Thailand, dua tahun lalu. Pada Julai tahun lepas, arwah ada melakukan ride solo ke Krabi, Thailand," ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan Izzat Izzuddin maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah trak pikap di daerah Chaiya, Thailand, kira-kira jam 9.15 pagi waktu tempatan.
Menurut laporan Balai Polis Chaiya, kemalangan berlaku apabila sebuah trak pikap Toyota dipandu penduduk tempatan dipercayai menyeberang dari arah kiri jalan ke laluan pusingan U sebelum merempuh motosikal mangsa.