JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menubuhkan Jawatankuasa Siasatan susulan isu seorang pesakit didakwa mengalami komplikasi selepas pemasangan Intrauterine Contraceptive Device (IUCD) di Klinik Kesihatan Pekan Nanas, Pontian pada 19 Disember lepas.
Menurut kenyataan JKNJ, aduan berhubung isu yang tular di media sosial baru-baru ini, telah diterima Pejabat Kesihatan Daerah Pontian melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) pada 23 Disember.
JKJN memaklumkan hasil siasatan mendapati pesakit telah menjalani prosedur pemasangan IUCD oleh seorang Pegawai Perubatan, sebelum dirujuk ke Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk rawatan dan pemantauan lanjut selepas mengalami komplikasi.
"Pihak JKNJ memandang serius insiden ini. Jawatankuasa Siasatan ditubuhkan bagi meneliti perkara tersebut secara menyeluruh, dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan dapatan siasatan," menurut kenyataan itu.
Menurut JKNJ, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memastikan setiap perkhidmatan dilaksanakan mengikut garis panduan ditetapkan serta tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk ketidakpatuhan atau amalan yang menjejaskan keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.
Baru-baru ini, tular hantaran di Facebook oleh seorang wanita mendakwa pegawai perubatan di sebuah klinik kesihatan melakukan kecuaian selepas prosedur pemasangan IUCD terhadapnya.
Wanita itu antaranya mendakwa terpaksa menjalani pembedahan bagi mengeluarkan IUCD yang dipercayai telah menembusi dinding rahimnya selain turut mengalami komplikasi lain. - Bernama