PAU 2025: Puteri UMNO persoal diskriminasi, peluang calon wanita muda dinafikan

Iklan
Nurul Amal ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Puteri UMNO mempersoalkan keputusan parti yang didakwa secara berterusan enggan mencalonkan wakil daripada sayap itu dalam siri pilihan raya termasuk pilihan raya umum (PRU).

Ketua Pergerakannya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, pihaknya dalam masa sama mempertikaikan sampai bila ketetapan tersebut terus diamalkan dalam UMNO, sambil menyifatkannya sebagai diskriminasi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketetapan sebegitu tidak mempamerkan tekad memperjuangkan 30 peratus penglibatan kaum wanita dalam pentadbiran dan politik diperjuangkan UMNO.

"Apa lagi yang kita (Puteri UMNO) tidak beri kepada parti? Bila (calon) Puteri mahu diketengahkan, perlu cukup syarat itu ini, tetapi kalau lelaki hendak dijadikan calon (pilihan raya), hilang deposit pun tak mengapa!

Iklan

"Puteri sering didiskriminasi, menahan rasa yang tak sudah-sudah, tetapi sampai bila? Kita tengok kembali ke belakang, UMNO pernah menjadi platform membawa pemimpin muda ke hadapan. Kalau dahulu boleh buat, kenapa tidak sekarang?

"Ini zaman orang muda, peluang perlu diberi sama rata, namun jika parti masih ragu-ragu untuk memberi ruang kepada calon wanita muda, sebenarnya kita sedang menyimpang daripada tradisi progresif UMNO sendiri," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, bertempat di Dewan Tun Razak 4 Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Khamis.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan; Naib Ketua Puteri UMNO, Siti Sokhleha Nordin dan ramai lagi.

Nurul Amal turut memaklumkan, cadangan untuk menaikkan had umur Puteri UMNO kepada 40 tahun terus dibangkitkan setiap kali PAU berlangsung.

Beliau menegaskan bahawa usul itu bukan muncul tiba-tiba atau bersifat emosi.

Bagaimanapun katanya, sehingga hari ini Puteri UMNO masih menunggu keputusan muktamad berhubung perkara berkenaan daripada pengurusan tertinggi parti.

"Kita mahu memastikan pelapis yang telah dilatih dalam Puteri tidak hilang begitu sahaja apabila mereka meningkat usia nanti.

"Langkah ini bukan sahaja menjaga kesinambungan, tetapi juga mengurangkan kerugian besar kepada parti.

"Maka dengan penuh hormat namun tegas, Puteri UMNO mengharapkan agar perkara ini tidak lagi sekadar didengar, tetapi dipertimbang dan diputuskan sewajarnya demi masa depan parti yang kita cintai. Ini bukan soal legasi, tapi tentang 'survival' Puteri!" ujarnya.