Bandingkan penjajahan Israel dengan hubungan Melayu-Cina jahil - AMK

Iklan
Omar Mokhtar

SHAH ALAM - Membandingkan antara penjajahan dan kekejaman Zionis Israel terhadap rakyat Palestin dengan hubungan antara orang Melayu dan kaum Cina di Malaysia disifatkan jahil dari sudut sejarah, fakta dan realiti sosial.

Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Omar Mokhtar A Manap berkata, hubungan antara Melayu, Cina dan India di Malaysia tidak pernah dibina atas asas penjajahan, penindasan sistematik atau penghapusan identiti seperti ilakukan oleh Israel terhadap Palestin.

Iklan
Iklan

Beliau berpandangan, tindakan menyamakan kedua-duanya bukan sahaja tidak tepat, malah mencerminkan kegagalan memahami konteks sebenar konflik antarabangsa dan realiti negara sendiri.

"Sejarah Malaysia membuktikan bahawa Melayu, Cina dan India pernah bersatu menentang penjajah British. Kemerdekaan negara ini tidak dicapai oleh satu kaum menindas kaum lain, sebaliknya lahir daripada kerjasama dan kesedaran kolektif bahawa penjajahan asing perlu ditamatkan.

Iklan

"Fakta ini direkodkan dalam sejarah negara dan tidak boleh dipadam atau diputar belit," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, pendakwah bebas, Firdaus Wong turut mempersoalkan tindakan seorang wartawan sebuah portal yang didakwa mengaitkan polisi apartheid Israel terhadap Palestin dengan layanan orang Melayu terhadap masyarakat Cina di Malaysia, sambil menyifatkan perbandingan itu sebagai tidak berasas dan tidak intelektual.

Iklan

Beliau menyifatkan, tindakan menyamakan penjajah Zionis Israel dengan orang Melayu, dan rakyat Palestin yang dijajah dengan kaum lain di Malaysia adalah tidak masuk akal dan amat mengelirukan.

Menurutnya lagi, penjajahan di Malaysia dilakukan oleh entiti asing, sekali gus bukan oleh mana-mana kaum tempatan terhadap kaum lain.

Omar Mokhtar memberitahu, cubaan membuat analogi sebegitu hanyalah satu manipulasi naratif yang berbahaya dan tidak berlandaskan kebenaran.

"Amat malang apabila Malaysia bakal mencapai 70 tahun kemerdekaan, namun masih wujud segelintir pihak yang gagal membuang cara fikir rasis dan prejudis, sehingga sanggup mencetuskan perbandingan yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat majmuk negara ini," katanya.

Beliau turut menegaskan, konflik Palestin–Israel adalah isu penjajahan, pembersihan etnik dan pelanggaran hak asasi manusia, bukan isu hubungan kaum biasa.

"Media memikul tanggungjawab besar untuk mendidik dan menyampaikan fakta, bukannya mencetuskan kekeliruan atau provokasi yang boleh memecah-belahkan masyarakat.

"Kebebasan media tidak boleh dijadikan lesen untuk menyebarkan naratif palsu atau soalan berunsur perkauman yang tidak beretika," kata beliau lagi.

Menurut Omar Mokhtar, AMK menyeru semua pihak khususnya segelintir pemain media agar lebih bertanggungjawab, berilmu dan beretika dalam menjalankan tugas, khususnya apabila melibatkan isu sensitif berkaitan kaum, sejarah negara dan konflik kemanusiaan antarabangsa.

"Malaysia dibina atas asas persefahaman, keadilan dan kebersamaan, dan asas ini wajar dipertahankan, bukan diruntuhkan dengan soalan yang dangkal dan tidak berfakta," tambahnya.

Justeru, kata beliau, AMK mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang wartawan yang didakwa mewakili sebuah portal media tempatan yang telah mengemukakan soalan tidak berasas dan mengelirukan itu semasa sidang media kehadiran George Galloway di Malaysia itu.