Bom aerial 227kg masih aktif ditemui di Jasin

Iklan
Anggota polis memeriksa bom aerial yang masih aktif.

JASIN - Sebutir bom jenis aerial seberat 227 kilogram yang masih aktif ditemukan oleh pekerja tapak projek ketika menjalankan kerja-kerja penggalian tanah di Kampung Air Panas Bemban di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, pihaknya menerima makluman mengenai penemuan objek tersebut kira-kira jam 3 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, panggilan telefon diterima daripada seorang lelaki berusia 52 tahun yang bekerja di tapak projek berkenaan.

“Pengadu memaklumkan telah menemui satu objek disyaki menyerupai bom ketika menjalankan kerja-kerja mengorek tanah di tapak projek tersebut.

Iklan

“Hasil siasatan awal yang dijalankan oleh Unit Persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin mengesahkan objek berkenaan merupakan bom jenis aerial bomb seberat 500 paun (227 kilogram),” katanya menerusi satu kenyataan.

Bom yang ditemui pengadu ketika menjalankan kerja-kerja mengorek tanah di sebuah tapak projek di Kampung Air Panas Bemban, Jasin

Iklan

Beliau berkata, bom tersebut berukuran lilitan antara 27 hingga 36 sentimeter dengan panjang kira-kira 45 inci.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bom berkenaan masih aktif dan berada dalam keadaan berkarat.

“Bom itu dijadualkan untuk dimusnahkan pada Khamis, jam 8 pagi, mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan orang awam dan kawasan sekitar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta menjejaskan ketenteraman masyarakat.

Orang ramai juga diminta memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis sepanjang proses pemusnahan bom dijalankan, tambahnya.