Rifdean 100 peratus sedia bertemu 'Rodtang Indonesia'

Iklan
Rifdean akan bersemuka dengan Redho Rocky (gambar dalam bulatan) di ONE Friday Nights 138 di Bangkok pada Jumaat ini.

PETARUNG Muay Thai negara, Rifdean Masdor berkata persiapannya berada pada tahap terbaik menjelang pertemuan menentang wakil Indonesia, Mohamad Redho 'Rocky' dalam aksi minggu pertama ONE Friday Nights 138 di Stadium Tinju Lumpinee, Bangkok, Thailand Jumaat ini.

Pertarungan yang dijadual bermula jam 6.30 petang itu menjadi pentas penting buat Rifdean, 23, dalam misinya memburu kontrak rasmi ONE Championship selepas mempamerkan prestasi konsisten sejak menyertai organisasi berprestij berkenaan.

Iklan
Iklan

Setakat ini, Rifdean mencatat empat kemenangan daripada lima penampilan di pentas ONE Championship, dengan tiga daripadanya diraih menerusi Knockout (KO) dan Technical Knockout (TKO), sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara prospek terbaik negara dalam Muay Thai.

“Saya sudah bersedia sepenuhnya dan peminat di tanah air tidak perlu bimbang. Ini memang bidang saya kerana saya masuk gelanggang sejak berusia tujuh tahun.

Iklan

“Namun saya juga tidak boleh terlalu yakin kerana apa sahaja boleh berlaku. Perlu berhati-hati, teknik mesti kemas dan bersih.

“Dia sudah lama mahu bertemu saya dan akhirnya peluang itu tiba,” katanya.

Iklan

Redho Rocky digelar peminat seberang sebagai ‘Rodtang Indonesia’, namun Rifdean tenang mengulas perbandingan itu dengan nada yakin.

“Jika orang gelarkan dia Rodtang Indonesia, saya Saenchai Malaysia,” ujar petarung yang mewakili pasukan Sor Sommai itu.

Mengulas peluang meraih kontrak rasmi ONE Championship, Rifdean memilih untuk memberi tumpuan penuh terhadap aksi di gelanggang dan menyerahkan keputusan tersebut kepada Ketua Pegawai Eksekutif ONE Championship, Chatri Sityodtong.

“Apa yang penting, saya akan berikan persembahan terbaik dan sasaran saya hanya satu, menang,” katanya.

Setakat ini, dua petarung negara iaitu Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau Jojo serta Ahmad Nor Iman Aliff Rakib sudah lebih awal meraih kontrak rasmi ONE Championship.

Rifdean yang turut dikenali dengan julukan ‘Magic Boy’ memiliki rekod cemerlang di pentas antarabangsa apabila muncul juara dunia bawah 23 tahun sebanyak tiga kali berturut-turut bermula edisi 2021 di Thailand, diikuti 2022 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan 2023 sekali lagi di Thailand.

Sebelum itu, beliau meraih gelaran juara dunia remaja pada 2019 di Turkiye selain menyumbang pingat emas pada Sukan SEA Filipina pada tahun sama.

Sebagai rekod, Rifdean memulakan langkah dalam ONE Championship pada 22 Mac 2024 dengan penuh bergaya apabila hanya memerlukan 78 saat untuk menewaskan wakil Thailand, Pichai Lookbanmai menerusi kemenangan TKO.