Jangan langgar 'tiga garis merah', bukan tiket percuma lunakkan prinsip UMNO

Iklan
Mohamad menyanyikan lagu UMNO pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang berlangsung dari 14 hingga 17 Januari di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - UMNO mengingatkan bahawa sebarang kerjasama politik sama ada dalam Kerajaan Perpaduan atau pakatan pada masa hadapan supaya tidak melanggar 'tiga garis merah'.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia bukanlah tiket percuma untuk mana-mana pihak untuk melunakkan prinsip asal parti berkenaan.

Iklan
Iklan

"Garis merah itu ialah hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera; kesucian agama Islam dan kedaulatan Raja Melayu.

"Kita perlu menghantar isyarat yang jelas, keras dan tuntas, khususnya kepada golongan berhaluan kiri, kelompok liberal atau sekutu politik yang cuba menangguk di air keruh.

Iklan

"Jangan sesekali cabar garis merah (Red Line) ini," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat serentak Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohamad turut memperingatkan rakan-rakan di dalam Kerajaan Perpaduan supaya jangan menyangka parti itu berada dalam satu Kabinet, UMNO sudah tumpul taringnya.

Iklan

"Jangan sangka kerana kita mahu kestabilan politik, kita akan pejam mata bila asas negara diganggu gugat. UMNO tidak akan diam membisu.

"Kita akan bangun, kita akan bersuara, dan kita akan menentang habis-habisan sesiapa jua, kawan atau lawan, yang cuba merobek tiga teras utama ini.

"Ini adalah amaran keras. Kita bersedia bekerjasama demi rakyat dan demi negara, tetapi jika tangan-tangan gatal mula menyentuh agama, bangsa dan raja kami, tangan itu akan kami tepis dengan segala kekuatan yang ada," katanya

Tambahnya, politik boleh berubah, gabungan boleh bertukar, tetapi prinsip itu kekal mati bersama UMNO.