22 maut, 55 cedera kereta api rempuh kren tumbang

Iklan
Rempuhan itu menyebabkan kereta api berkenaan tergelincir daripada landasan dan mencetuskan kebakaran di beberapa gerabak. Foto AP

BANGKOK - Seramai 22 orang terkorban manakala 55 lagi cedera selepas sebuah kereta api penumpang merempuh sebuah kren pembinaan yang terjatuh ke atas landasan di Thailand, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik media tempatan pada Rabu.

Menurut penyiar PBS, dalam kejadian awal pagi Rabu itu, kereta api penumpang yang dalam perjalanan dari Bangkok ke Ubon Ratchathani telah melanggar sebuah kren pembinaan yang tumbang dan jatuh ke atas tapak projek landasan kereta api berkelajuan tinggi bertingkat di Daerah Sikhio, Wilayah Nakhon Ratchasima.

Iklan
Iklan

Rempuhan itu menyebabkan kereta api berkenaan tergelincir daripada landasan dan mencetuskan kebakaran di beberapa gerabak, menurut laporan itu.

Gerabak kedua dan ketiga dilaporkan mengalami kerosakan teruk, dan sebahagian besar mangsa merupakan penumpang di gerabak berkenaan, kata penyiar berkenaan.

Iklan

Kereta api itu dilaporkan membawa kira-kira 195 penumpang serta kru.

Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana Thailand telah menggerakkan pasukan tindak balas kecemasan serta peralatan berat untuk menyelamat ke lokasi kejadian, lapor PBS.

Iklan

Akhbar Khaosod sebelum ini melaporkan jumlah mangsa yang terkorban melebihi 40 orang.

Penumpang dilaporkan terperangkap di dalam gerabak yang sedang terbakar, memaksa anggota bomba dan pasukan penyelamat memadamkan api sambil memotong badan gerabak secara serentak bagi membebaskan mangsa yang terperangkap, lapor Khaosod. - Bernama