KOTA BHARU – Polis Kelantan menahan dua beradik tukang besi dan merampas satu laras senapang serta dua pucuk pistol buatan sendiri, dua pistol tiruan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Seneng, Jelawat, Bachok pada Selasa.
Serbuan yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada D9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan kira-kira jam 5 petang itu turut merampas dua unit kelopak peluru, satu unit sarung pistol dan 27 biji caliber powder ramset serta sebuah kereta jenis Proton Saga BLM dan tiga unit telefon bimbit.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil serbuan terbabit membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 34 dan 37 tahun yang masing-masing mempunyai rekod jenayah dan narkotik.
“Semakan mendapati tangkapan pertama iaitu adik mempunyai tiga rekod lampau melibatkan dua kes jenayah dan satu kes narkotik.
"Manakala tangkapan kedua (abang) mempunyai dua rekod lampau iaitu satu kes jenayah dan satu kes narkotik,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Rabu.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati kedua beradik itu menggunakan kemahiran besi mereka menghasilkan senapang serta pistol buatan sendiri melalui pembelajaran di YouTube.
Ujarnya, manakala barang-barang untuk membuat senjata api dibeli melalui aplikasi Shopee.
Mohd Yusoff memberitahu, dua beradik ini menggunakan senjata api terbabit untuk mengambil upah sebagai pengutip hutang along.
"Mereka juga mempunyai sebuah bengkel besi di hadapan rumah, manakala pengutip hutang sebagai kerja sambilan," katanya.
Tambah beliau, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.
Ujarnya, suspek kini direman selama empat hari bermula Rabu hingga Sabtu.
Mohd Yusoff memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 36 akta sama dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.