BUKIT MERTAJAM – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang berjaya merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM211,650 dalam satu operasi yang dijalankan di tepi jalan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru arah utara, Lebuhraya Utara-Selatan, di sini pada petang Selasa.
Serbuan kira-kira jam 2 petang itu dijalankan bersama pasukan D9 Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah (IPD SPT), hasil maklumat awam berkaitan aktiviti pengedaran mercun dan bunga api tanpa permit yang sah.
Pemangku Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang, Superintendan Fakharuddin Amri Sanusi berkata, hasil pemeriksaan ke atas sebuah lori mendapati sejumlah besar kotak disyaki mengandungi mercun dan bunga api.
Menurutnya, seorang lelaki berusia 56 tahun ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit penyimpanan bahan letupan yang sah.
“Antara rampasan utama melibatkan 206 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM131,650.
“Selain itu, polis turut menyita sebuah lori lima tan yang dianggarkan bernilai RM80,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM211,650,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Fakharuddin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957, iaitu memiliki, menyimpan atau mengawal bahan letupan tanpa kebenaran yang sah.
Dalam pada itu, beliau berkata Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan pengedaran bahan letupan tanpa kebenaran, khususnya menjelang musim perayaan, demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu tindakan penguatkuasaan.