Real Madrid pecat Alonso

Iklan
Xabi Alonso

REAL Madrid pada Isnin mengumumkan jurulatihnya, Xabi Alonso telah meninggalkan gergasi Sepanyol itu atas persetujuan bersama dan tempatnya kini diambil alih oleh Alvaro Arbeloa.

Keputusan drastik itu dibuat susulan kekalahan Los Blancos pada final Piala Super Sepanyol di tangan musuh tradisi, Barcelona pada Isnin.

Iklan
Iklan

Pihak pengurusan kelab memutuskan untuk berpisah dengan Alonso walaupun dia baru memegang jawatan tersebut kurang daripada lapan bulan.

Real Madrid turut melantik bekas pemain pertahanan mereka, Arbeloa yang sebelum ini mengendalikan skuad simpanan iaitu Castilla bagi menggantikan Alonso.

Iklan

"Real Madrid mengumumkan bahawa, atas persetujuan bersama antara kelab dan Xabi Alonso, keputusan telah dibuat untuk menamatkan tempoh beliau sebagai jurulatih pasukan utama," menurut kenyataan rasmi Los Blancos.

Dalam kenyataan berasingan, kelab mengesahkan pelantikan Arbeloa namun tidak menyatakan tempoh kontrak pengendali berusia 42 tahun itu.

Iklan

Arbeloa telah membimbing Castilla sejak Jun 2025 dan mengembangkan karier kejurulatihannya di akademi Real Madrid sejak tahun 2020. Ujian pertamanya adalah aksi pusingan 16 terbaik Copa del Rey menentang kelab divisyen dua, Albacete pada Rabu.

Sebagai rekod, Arbeloa pernah menyarung jersi Madrid sebanyak 238 kali antara tahun 2009 hingga 2016, memenangi dua gelaran Liga Juara-Juara dan satu La Liga, selain menjulang Piala Dunia 2010 serta Euro 2008 dan 2012 bersama Sepanyol.

Alonso menyertai Real Madrid pada Jun lalu bagi menggantikan Carlo Ancelotti, namun bergelut untuk mendapatkan konsistensi pasukan. Real kini menduduki tangga kedua La Liga, ketinggalan empat mata di belakang Barcelona.

Kekalahan 3-2 kepada skuad kendalian Hansi Flick di Arab Saudi menjadi kemuncak kepada penamatan kontrak Alonso.

Bintang sensasi Perancis, Kylian Mbappe turut menzahirkan ucapan perpisahan di laman Instagram miliknya.

"Ia tempoh yang singkat tetapi satu penghormatan untuk bermain dan belajar daripada anda. Saya akan mengingati anda sebagai pengurus yang mempunyai idea yang jelas," tulis Mbappe.

Sepanjang tempoh singkatnya, Alonso yang hadir dengan reputasi tinggi selepas memenangi Bundesliga bersama Bayer Leverkusen, gagal menerapkan gaya permainan moden yang diharapkan.