Wang simpanan lebih RM70,000 lesap selepas terima bungkusan 'Tupperware'

Iklan
Mangsa menerima bungkusan Tupperware yang dihantar ke rumah di Bukit Besar. Gambar kecil: Azli.

KUALA TERENGGANU – Bermula dengan menerima bungkusan Tupperware yang dihantar ke rumah, seorang kerani klinik kerugian lebih RM70,000 selepas terperangkap dalam sindiket penipuan telefon membabitkan tawaran kerja palsu secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, laporan berhubung kes itu diterima pada kira-kira jam 2 petang pada Isnin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa yang merupakan wanita berusia 54 tahun mendakwa kejadian bermula pada 1 Januari lalu selepas dia menerima bungkusan barangan berupa barangan jenama Tupperware daripada individu tidak dikenali ketika berada di kediamannya di Bukit Besar di sini.

"Tidak lama selepas itu, pengadu dihubungi melalui satu panggilan telefon sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan pesanan mudah alih WhatsApp yang mempunyai kira-kira 200 ahli.

Iklan

"Dalam kumpulan tersebut, pengadu ditawarkan tugasan mudah seperti menekan 'like' dan berkongsi hantaran media sosial dengan dijanjikan pemberian komisen," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Beliau berkata, selepas berjaya menyelesaikan kira-kira 20 tugasan dan menerima komisen awal, mangsa mula diyakinkan untuk memperoleh pendapatan lebih tinggi dengan membuat bayaran bagi menaik taraf status ke peringkat pekerja.

Iklan

"Ketika itu mangsa tidak menyedari dirinya sedang diperdaya, mangsa telah membuat dua pemindahan wang secara dalam talian dan 15 transaksi deposit tunai ke dalam lima akaun bank berbeza.

"Jumlah keseluruhan wang yang dipindahkan mencecah RM70,935 melibatkan lima akaun bank berlainan, menggunakan wang simpanan peribadi pengadu," katanya.

Menurut beliau, mangsa mula berasa curiga apabila terus diminta membuat bayaran tambahan tanpa menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan.

"Mangsa yang berasa ditipu tampil ke balai polis untuk membuat laporan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.

Dalam pada itu, Azli turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan penghantaran bungkusan secara rawak atau tawaran kerja yang menjanjikan pulangan lumayan.

Katanya, semakan segera perlu dibuat dengan pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi yang mencurigakan.