PRK: BN yakin dapat pertahankan kerusi Kinabatangan, Lamag

Iklan
Zambry - Foto fail Bernama

SANDAKAN - Barisan Nasional (BN) yakin dapat mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan, 24 Januari ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, keyakinan itu berdasarkan kempen yang dijalankan BN turut mendapat sokongan daripada parti dalam Kerajaan Negeri Sabah yang dipimpin oleh Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor.

Iklan
Iklan

"Saya melihat dari segi persiapan (kempen) berjalan dengan baik dan kerjasama yang ditunjukkan, hasil daripada pembentukan kerajaan ini (Kerajaan Negeri Sabah) telah pun membina satu persefahaman yang baik.

"Beliau (Hajiji) memberikan komitmen besar untuk memastikan kerusi ini dapat terus dipegang oleh calon BN yang bertanding di Parlimen dan juga DUN," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek asrama baharu Politeknik Sandakan di sini pada Isnin.

Iklan

Turut hadir ialah Pengerusi BN Sabah yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin. 

Dalam masa sama, Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, legasi pembangunan yang ditinggalkan bekas Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin di Kinabatangan khususnya dalam aspek pendidikan dan pembangunan desa akan terus diperjuangkan.

Iklan

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas) manakala DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob dengan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian Bung Moktar, 66, pada 5 Disember tahun lepas.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag mempunyai 48,722 pemilih berdaftar merangkumi 48,526 pengundi biasa dan 196 polis serta pasangan sebagai pengundi awal.

Sebanyak 36 pusat mengundi biasa dengan 117 saluran dan satu pusat mengundi awal dengan satu saluran akan digunakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan adalah pada 24 Januari, manakala pengundian awal pada 20 Januari ini. - Bernama