BEIJING - Pesawat pengangkut tanpa juruterbang buatan China, Tianma-1000 berjaya menyempurnakan penerbangan sulungnya pada Ahad, lapor Xinhua.
Dibangunkan oleh Xi’an ASN Technology Group Co, Ltd di bawah China North Industries Group Corporation, Tianma-1000 menggabungkan fungsi pengangkutan logistik, penyelamatan kecemasan dan penghantaran bekalan dalam satu platform.
Tianma-100 adalah pesawat tanpa juruterbang pertama di China yang mampu menyesuaikan diri dengan kawasan altitud tinggi yang kompleks, melaksanakan perlepasan dan pendaratan jarak ultra-pendek serta bertukar dengan pantas antara mod pengangkutan kargo dan pengguguran dari udara, menurut pembangunnya.
Dengan jarak operasi maksimum 1,800 kilometer, pesawat itu berupaya mewujudkan laluan ekspres udara bagi penghantaran pantas.
Dilengkapi dengan perancangan laluan pintar dan sistem pengelakan halangan, pesawat tersebut dapat mengenal pasti serta mengelak halangan seperti gunung, bangunan secara autonomi, sekali gus memastikan operasi selamat di ruang udara yang tidak dikenali.
Ia mempunyai kabin kargo modular yang membolehkan konfigurasi semula dengan pantas untuk pelbagai tugasan, meningkatkan keupayaan menyesuaikan diri dengan misi yang berbeza.
Pesawat berkenaan mempunyai siling perkhidmatan setinggi 8,000 meter dan memerlukan jarak berlepas serta mendarat kurang daripada 200 meter.
Keperluan tapak pendaratan yang rendah membolehkannya beroperasi di permukaan tidak berturap seperti padang rumput dan jalan tanah yang dipadatkan.
Pesawat itu turut dilengkapi sistem pemuatan dan pemunggahan automatik sepenuhnya yang mampu mengendalikan kargo pada tahap tan dalam tempoh lima minit, sekali gus mengautomasi sepenuhnya tugasan daripada perancangan hingga pelaksanaan.
Sistem pendaratan berpandukan optik membolehkan pendaratan berautonomi berketepatan tinggi dalam keadaan jarak penglihatan rendah, menyokong operasi di persekitaran yang mencabar. - Bernama-Xinhua