JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menggesa agar proses perolehan dan pentadbiran dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diaudit serta direformasi secara menyeluruh bagi mengelak tiada pihak cuba menutup salah guna kuasa dan rasuah.
Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, langkah itu penting bagi memastikan integriti institusi pertahanan negara sentiasa terpelihara serta selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menzahirkan kebimbangan serius terhadap isu rasuah, termasuk dalam institusi keselamatan negara.
Menurutnya, tindakan tegas tanpa kompromi mesti diambil terhadap mana-mana anggota atau pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat tanpa mengira pangkat dan kedudukan.
"Tiada perlindungan atau cubaan menutup kes membabitkan anggota atau pegawai ATM bagi menjaga imej kerana ketelusan adalah kunci memulihkan kepercayaan rakyat.
"Seterusnya, proses perolehan dan pentadbiran dalam ATM perlu diaudit dan direformasi secara menyeluruh bagi memastikan tiada pihak cuba menutup ruang salah guna kuasa.
"Amanah Johor percaya titah Yang di-Pertuan Agong mencerminkan kehendak rakyat agar budaya rasuah dibanteras sehingga ke akar umbi, termasuk dalam institusi yang paling dihormati negara. Integriti tidak boleh dipilih-pilih dan undang-undang mesti ditegakkan dengan adil," katanya dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Sri Gading itu menambah, Amanah Johor memandang serius pendedahan dan siasatan berkaitan kes rasuah yang melibatkan anggota dan pegawai ATM.
Katanya, tindakan menerima rasuah oleh mana-mana anggota tentera adalah satu pengkhianatan besar terhadap negara, mencemarkan nama baik ATM serta meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.
"ATM merupakan benteng kedaulatan negara dan simbol disiplin serta integriti.
"Sebarang perlakuan rasuah bukan sahaja melanggar undang-undang, malah bertentangan dengan nilai kehormatan, sumpah taat setia dan prinsip ketenteraan yang seharusnya dijunjung tinggi," ujarnya lagi.
Sebelum ini bekas Panglima Tentera Darat (PTD) ditahan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penerimaan rasuah melibatkan projek tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin pula meneruskan proses mengambil keterangan seorang pegawai tertinggi ATM yang dipanggil pada Ahad bagi membantu siasatan.