Rakyat Palestin adakan protes di Gaza ketika krisis kemanusiaan semakin buruk

Iklan
Rakyat Palestin di Gaza mengadakan protes susulan krisis kemanusiaan dan persekitaran yang semakin meruncing akibat sekatan dan serangan Israel - Foto: Agensi

ISTANBUL/GAZA - Rakyat Palestin di Semenanjung Gaza mengadakan protes pada Ahad ketika keadaan kemanusiaan dan persekitaran terus merosot ke tahap malapetaka susulan genosid Israel selama dua tahun di wilayah terkepung itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Penunjuk perasaan di sebuah kem pelarian di Bandaraya Gaza membawa sepanduk bertulis,"Cukup-cukuplah dengan ketidakadilan dan pengabaian,”"Wabak mengancam kami,” dan"Sampah di merata-rata tempat.”

Iklan
Iklan

Mereka menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya memenuhi tanggungjawabnya dan berdiri bersama penduduk Gaza ketika krisis kemanusiaan semakin meruncing.

"Kami mahu membina semula kehidupan kami”

Iklan

Eylin, seorang kanak-kanak perempuan Palestin yang dipaksa berpindah akibat serangan Israel, memberitahu pewarta Anadolu:"Kami tinggal di dalam khemah yang tidak memberi perlindungan daripada panas atau sejuk.”

"Kanak-kanak dan orang ramai sedang mati akibat penyakit, tikus dan kesejukan melampau. Kami mahu membina semula kehidupan kami dan kami memerlukan rumah yang akan melindungi kami,” katanya.

Iklan

Mekanisme kutipan sampah tidak berfungsi

Said Akluk, seorang pegawai Kementerian Kesihatan Gaza, berkata Semenanjung Gaza kekurangan sistem pengumpulan sisa pepejal yang berfungsi dengan baik.

Beliau berkata, serangan berterusan menyukarkan pengangkutan sampah ke tapak pelupusan di luar kawasan kediaman dalam keadaan yang bersih dan teratur.

Akluk menambah bahawa khemah-khemah yang ada tidak memenuhi piawaian kebersihan minimum, sekali gus menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit, dan berkata tikus serta serangga membiak dengan banyak kerana Israel melarang kemasukan produk kawalan perosak.

Beliau juga berkata, pihak berkuasa menerima laporan mengenai serangan haiwan liar, khususnya membabitkan kanak-kanak.

Sejak bermulanya musim sejuk, 21 rakyat Palestin maut akibat kesejukan di Semenanjung Gaza, yang menyaksikan krisis kemanusiaan semakin buruk akibat sekatan Israel, serangan berterusan dan pemindahan paksa penduduk yang meluas.

Krisis kemanusiaan meruncing meskipun gencatan senjata

Dalam satu kenyataan, Pejabat Media Kerajaan Gaza berkata bahawa walaupun perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt 2025, Israel terus melakukan pelanggaran di Gaza dan menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan, sekali gus memburukkan lagi malapetaka kemanusiaan.

Kenyataan itu menyebut bahawa ratusan ribu penduduk Palestin bergelut untuk terus hidup dalam khemah sementara tanpa perlindungan daripada kesejukan melampau, hujan dan angin serta kekurangan tempat perlindungan yang mencukupi, penjagaan kesihatan dan pemanas telah menyebabkan bayi dan kanak-kanak khususnya berhadapan risiko yang mengancam nyawa. - Bernama