MANCHESTER United terus dihimpit episod suram apabila tersingkir seawal pusingan ketiga Piala FA, sekali gus mencatat dua rekod yang tidak diingini dalam sejarah kelab.
Skuad kendalian pengurus interim, Darren Fletcher tewas 1-2 kepada Brighton dalam perlawanan yang berlangsung di Old Trafford pada awal pagi Isnin, dengan bekas penyerang United, Danny Welbeck muncul watak utama apabila meledak satu gol serta mencipta satu lagi jaringan.
Kekalahan itu menyaksikan United tersingkir pada peringkat awal kedua-dua kejohanan domestik musim ini, selepas sebelum ini tersingkir daripada Piala Liga susulan kekalahan menerusi penentuan sepakan penalti kepada pasukan Liga Dua, Grimsby Town.
Lebih mengecewakan, kegagalan itu bermakna United kini hanya mempunyai saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk diperjuangkan, dengan pasukan tersebut kini berada di kedudukan ketujuh liga.
Menurut data Opta, ini merupakan kali pertama United tersingkir daripada kedua-dua piala domestik pada peluang pertama sejak musim 1981-82, iaitu kali terakhir berlaku 44 tahun lalu.
United turut berdepan satu lagi rekod yang memalukan apabila bakal mengharungi musim dengan jumlah perlawanan paling sedikit sejak sebelum Perang Dunia Pertama.
Pasukan itu dijangka hanya beraksi dalam 40 perlawanan dalam semua kejohanan musim ini, jumlah terendah sejak musim 1914-15.
Statistik berkenaan tidak mengambil kira musim yang terjejas akibat peperangan.
Keadaan ini menyaksikan United, yang suatu ketika dahulu sinonim dengan cabaran di semua pentas sehingga penghujung musim, kini hanya mengharungi 38 perlawanan liga serta dua aksi piala domestik.
Sekiranya mereka melangkah lebih jauh dalam kejohanan piala, United berpotensi mengharungi sehingga 51 perlawanan musim ini.
Pengurus legenda kelab, Sir Alex Ferguson, turut hadir menyaksikan perlawanan itu bersama Paul Scholes dan Nicky Butt, dengan raut wajah jelas menggambarkan kekecewaan terhadap prestasi pasukan yang pernah dibinanya sebagai kuasa besar bola sepak dunia.
United kini dalam usaha mencari pengurus tetap ketujuh sejak Ferguson bersara 13 tahun lalu.
Ruben Amorim dilepaskan minggu lalu, manakala Fletcher diberikan tanggungjawab sementara memimpin pasukan.
Namun, keputusan seri 2-2 menentang Burnley serta kekalahan kepada Brighton dilihat tidak membantu peluang Fletcher untuk terus kekal mengemudi pasukan dalam jangka panjang.
Beberapa laporan menyebut Ole Gunnar Solskjaer dan Michael Carrick antara calon utama untuk mengambil alih peranan tersebut, dengan pihak pengurusan berhasrat melantik pengurus tetap pada musim panas akan datang.
Sementara itu, bekas kapten United, Roy Keane, turut mengkritik struktur pengurusan kelab dan menyifatkan pengaruh bekas individu utama di sekeliling pasukan sebagai faktor yang membantutkan perubahan.
United dijadualkan berdepan Manchester City dalam aksi derbi di Old Trafford Sabtu ini, dengan masa depan Fletcher sebagai pengendali sementara masih menjadi tanda tanya.