BALIK PULAU - Dua kanak-kanak berusia tujuh tahun, masing-masing seorang lelaki dan perempuan hampir lemas selepas ditemui tidak sedarkan diri di kolam renang sebuah kondominium di Bayan Baru, pada pagi Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, polis menerima laporan berhubung insiden berkenaan yang melibatkan kedua-dua mangsa yang sedang bercuti bersama keluarga dan menginap di sebuah inap desa di kediaman terbabit sejak 9 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, siasatan awal mendapati bapa kepada kanak-kanak perempuan tersebut telah menerima panggilan telefon daripada adik perempuannya yang memaklumkan anak bersama anak saudaranya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi kolam renang.
Menurutnya, lelaki tersebut kemudiannya membawa kedua-dua mangsa ke Hospital Pantai Bayan Baru bagi mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati kejadian berlaku di kolam renang di tingkat 42 kondominium berkenaan dan tiada petugas berada di lokasi semasa insiden berlaku,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati adik perempuan lelaki itu telah membawa kedua-dua mangsa ke kolam renang kira-kira jam 8.30 pagi.
“Rakaman CCTV menunjukkan kedua-dua mangsa berjalan dari kolam kanak-kanak ke kolam orang dewasa sebelum ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam,” katanya.
Tambah beliau, lelaki berkenaan dijangka pulang pada 11 Januari ini selepas menginap di kondominium berkenaan bagi tujuan percutian keluarga.
Menurut Anuwal, setakat ini seorang mangsa dilaporkan masih dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di unit rawatan rapi manakala seorang lagi mangsa telah sedar dan menerima rawatan lanjut di wad kanak-kanak HPP.
“Kes ini masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sebarang unsur kecuaian atau salah laku mana-mana pihak yang terlibat.
"Oleh itu, orang ramai khususnya ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya sentiasa memantau pergerakan kanak-kanak ketika berada di kawasan kolam renang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.