KUANTAN – Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Indera Mahkota melahirkan rasa kesal terhadap keputusan Lembaga Disiplin parti itu yang memecat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Timbalan Ketua Bersatu Indera Mahkota, Mat Zahid Abu Hassan berkata, pemecatan tersebut dibuat tanpa melalui proses perbicaraan yang adil.
“Ketetapan dibuat sebulat suara dalam mesyuarat jawatankuasa bahagian berkenaan yang diadakan pada Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sehubungan itu, pihaknya berharap Lembaga Rayuan Bersatu dapat mempertimbangkan rayuan yang bakal dikemukakan oleh Saifuddin secara adil, telus dan berhemah demi keutuhan parti.
“Jawatankuasa itu turut menyatakan solidariti bersama Saifuddin Abdullah dan menyokong secara berterusan terhadap kepimpinan beliau,” ujarnya.
Pada Selasa, Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Harris Idaham memaklumkan bahawa Saifuddin telah dipecat sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti.
Pemecatan itu disahkan sendiri oleh Saifuddin, yang turut memaklumkan bahawa beliau akan mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam masa terdekat.
Saifuddin menjelaskan bahawa pemecatan itu dibuat selepas beliau didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti, dan menegaskan keputusan tersebut tidak memenuhi prinsip perbicaraan yang adil serta menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar.