SEREMBAN – Seorang lelaki warga emas yang dikenali sebagai ‘Ayang’ mengaku tidak bersalah di Hospital Tuanku Jaafar di sini pada Jumaat, atas lima pertuduhan berkaitan bahan letupan buatan sendiri (IED) yang didakwa berlaku bulan lalu.
Tertuduh, Yeoh Hock Sun, 63, yang terbaring di katil hospital membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Difahamkan, prosiding tersebut bermula sekitar jam 9.50 pagi, namun terpaksa ditangguhkan kira-kira 20 minit selepas tertuduh mengadu mengalami sesak nafas secara tiba-tiba.
Pakar perubatan yang bertugas kemudiannya memberikan rawatan lanjut sebelum prosiding disambung semula pada jam 10.15 pagi selepas tertuduh disahkan berada dalam keadaan stabil.
Bagaimanapun, media tidak dibenarkan mengikuti prosiding berkenaan dan hanya menunggu di luar pintu masuk bangunan hospital.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan bahan letupan yang menyebabkan kerosakan terhadap sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi L200 Triton milik seorang lelaki berusia 47 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 22 Disember 2025, kira-kira jam 5.55 pagi di kawasan parkir Blok A, Pangsapuri Desa Palma, Nilai.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut tiga pertuduhan lain, tertuduh didakwa memiliki bahan letupan dalam keadaan yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa dia berniat menggunakannya bagi maksud menyebabkan kecederaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tarikh sama, antara jam 12.30 tengah hari hingga 7.30 malam, masing-masing di sebuah unit Pangsapuri Desa Palma, di dalam sebuah kereta jenis Proton Wira yang diletakkan di kawasan Star Valley, Nilai, serta di tepi jalan utama Kampung Batang Benar, Mantin, Nilai.
Bagi kesalahan berkenaan, pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 3 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 4 akta yang sama kerana menggunakan bahan letupan buatan sendiri (IED) secara salah dan dengan niat jahat untuk mendatangkan kecederaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun dan sebatan.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 12 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni.
Sebelum ini, media melaporkan polis menemukan objek disyaki IED susulan kejadian letupan di kawasan Desa Palma selepas menerima laporan orang awam mengenai objek meletup serta paku bertaburan di kawasan itu pada jam 7.08 pagi.