JKDM catat kutipan hasil tertinggi, RM76.18 bilion pada 2025

Iklan
Anis Rizana menunjukkan hasil kutipan yang diperoleh dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM di sini pada Jumaat.

PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencatatkan prestasi kutipan hasil tertinggi dalam tempoh empat tahun apabila merekodkan kutipan keseluruhan berjumlah RM76.18 bilion sepanjang tahun 2025.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, jumlah tersebut meningkat sebanyak RM10.61 bilion atau 16.18 peratus berbanding kutipan RM65.57 bilion yang direkodkan pada tahun 2024.

Iklan
Iklan

“Pencapaian ini melepasi unjuran hasil awal Kementerian Kewangan sebanyak RM67.25 bilion serta unjuran semakan RM73.26 bilion yang ditetapkan melalui Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan, Belanjawan 2026.

“Sehingga 31 Disember 2025, JKDM merekodkan lebihan hasil sebanyak RM8.93 bilion atau 113.28 peratus berbanding unjuran awal,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Kejayaan JKDM dalam Kutipan Hasil dan Kes Penguatkuasaan Sepanjang 2025 di Ibu Pejabat JKDM, di sini, pada Jumaat.

Menurut beliau, prestasi kutipan hasil JKDM menunjukkan trend peningkatan konsisten sejak tahun 2022 apabila mencatatkan RM52.93 bilion, diikuti RM55.17 bilion pada 2023, RM65.57 bilion pada 2024, dan mencapai paras tertinggi pada 2025.

Iklan

“Pencapaian ini direkodkan walaupun JKDM berdepan cabaran peralihan sumber manusia susulan pindah butiran 1,053 waran perjawatan pegawai kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKSEM) di 22 pintu masuk negara sejak 1 Oktober 2025,” jelasnya.

Tambah beliau, JKDM kekal berupaya mengekalkan prestasi pungutan hasil melalui pengoptimuman proses kerja, penstrukturan operasi dan penggunaan teknologi secara strategik.

“Agenda pendigitalan termasuk penggunaan sistem MyCIEDS di seluruh negara sepanjang 2025 telah memperkukuh pengurusan risiko, pemantauan pematuhan serta analisis data perdagangan.

“JKDM turut mengaplikasikan gabungan kecerdasan manusia dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan serta ketepatan operasi,” katanya.

Jelasnya lagi, pendekatan tersebut turut diperkukuh melalui inisiatif Neuro-Linguistic Programming (NLP) yang melibatkan 65 pegawai bagi mengenal pasti tingkah laku mencurigakan.

“JKDM juga memperoleh 134 unit mesin pengimbas moden berteknologi AI bagi meningkatkan keberkesanan pemeriksaan.

“Penguatkuasaan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang turut diperkukuh melalui pemeriksaan 100 peratus ke atas dagangan import dan eksport bermula 15 November 2023,” katanya.

Tambahnya, JKDM turut melaksanakan pusingan kerja 100 peratus bagi pegawai yang layak sepanjang 2025, melebihi syarat minimum yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).