SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan rasa syukur susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap beliau dalam kes membabitkan 47 pertuduhan berkaitan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, keputusan itu membuktikan bahawa kebenaran akhirnya terserlah selepas melalui proses perundangan yang panjang.
“Syukur alhamdulillah. Masa akhirnya menjawab segalanya, kebenaran terbukti jua,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.
Ahmad Zahid bebas selepas AGC memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) akan diambil dalam kes berkenaan.
Keputusan itu susulan penelitian terhadap keseluruhan siasatan dan keterangan baharu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid atas pertuduhan itu.
Menurut jabatan itu, siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana tersebut termasuk perkara-perkara yang dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan kepada AGC selepas beliau dipanggil untuk membela diri.
Menurut AGC, keputusan itu membawa kepada penamatan muktamad kes tersebut selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.