KUALA LUMPUR – Selepas tiga hari perbicaraan, Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menetapkan hujahan lisan kes saman fitnah bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir terhadap ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman pada 29 April depan.
Hakim, Roslan Mat Nor menetapkan tarikh itu selepas Aliff Syukri, 39, selaku defendan selesai memberi kenyataan.
Beliau kemudiannya memerintahkan pihak defendan dan peguam yang mewakili Abdul Kadir Selaku plaintif, memfailkan hujahan pada 9 Mac sementara 30 Mac untuk hujahan balas.
Bagaimanapun, mahkamah belum menetapkan tarikh bagi keputusan saman fitnah terbabit.
Dalam prosiding ini, bekas veteran UMNO itu diwakili peguam, Ravichandaran Selliah sementara usahawan kosmetik itu dihadiri peguam, Zulfahmi Abu Bakar Mohd Tajudin Abd Razak dan Shah Nurul Afzan Abdullah.
Pada 6 September 2023, Abdul Kadir memfailkan saman dan menuntut ganti rugi RM70 juta daripada ahli perniagaan, Aliff Syukri atas dakwaan memfitnah.
Abdul Kadir berkata, penyanyi lagu raya kontroversi itu dengan jumlah pengikut yang ramai dalam platform media sosial iaitu Facebook, Instagram dan lain-lain, didakwa telah mengeluarkan kenyataan itu pada 2 Julai 2023.
Bekas menteri penerangan itu mendakwa, kenyataan itu membawa maksud antaranya plaintif berhutang dengan defendan berjuta-juta ringgit, selain gambar plaintif yang diletakkan pada kenyataan tersebut telah mengundang komen negatif daripada pembaca.
Oleh itu, plaintif menuntut antaranya defendan membayar RM70 juta untuk libel (fitnah bertulis) dan ganti rugi yang dinilai oleh mahkamah, selain perintah supaya defendan memberikan aku janji bertulis untuk tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif serta permohonan maaf tanpa syarat yang disiarkan di akaun media sosial defendan, dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah ini.
Sementara itu, Aliff Syukri menerusi pernyataan pembelaannya mendakwa beliau telah membuat bayaran pelaburan sebanyak RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usaha sama bertarikh 26 November 2018 yang melibatkan plaintif, defendan serta dua syarikat.
Defendan mendakwa, pihak-pihak di dalam perjanjian usaha sama gagal membuat pembayaran wang yang telah dilaburkan oleh saya dan segala pelanggaran-pelanggaran janji sedemikian termasuklah aku janji yang diberikan plaintif, di dalam pengetahuan sendiri.