Ahmad Zahid bebas, 47 kes dana Yayasan Akalbudi diklasifikasikan NFA

Iklan
Ahmad Zahid Hamidi

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kini bebas selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) akan diambil dalam kes melibatkan 47 pertuduhan berkaitan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Keputusan itu susulan penelitian terhadap keseluruhan siasatan dan keterangan baharu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid atas pertuduhan itu.

Iklan
Iklan

Menurut Jabatan itu, siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana tersebut termasuk perkara-perkara yang dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan kepada AGC selepas beliau dipanggil untuk membela diri.

Setelah meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu hasil siasatan lanjut dan penelitian tersebut, jabatan ini berdasarkan penilaian dan pertimbangan pendakwaan mendapati bahawa keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan tersebut.

Iklan

Penelitian itu turut mengambil kira skop dan fokus siasatan pada peringkat awal yang berkaitan secara langsung dengan pertuduhan difailkan dan pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan berhubung kesesuaian dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan.

Penelitian juga mempertimbangkan langkah-langkah siasatan lanjut oleh SPRM bagi memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks dan keterangan baru kes serta dapatan hasil siasatan lanjut merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan dan operasi Yayasan Akalbudi termasuk aliran dana dan sumbangan dana ke dalam yayasan dari semasa ke semasa.

Iklan

Sehubungan itu, jabatan memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut akan diambil berhubung kes berkenaan, sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes tersebut.

Keputusan terbabit selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.

Jabatan menegaskan bahawa keputusan yang diambil adalah berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang, dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan, serta keperluan untuk memastikan kepastian dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah.