PASIR MAS - Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mungkin dicalonkan sebagai bakal Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melepaskan jawatan tersebut pada 1 Januari lalu.
Tekaan berkenaan hampir menjadi kenyataan apabila Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, dalam perlembagaan tidak menyatakan ketua parti perlu jadi Pengerusi PN.
Menurut beliau, yang ada adalah Timbalan Pengerusi PN itu dilantik daripada ketua-ketua parti.
"Dalam perlembagaan tidak ada cuma barangkali konvensyennya difahami begitu dan benda itu tidak ada masalah dimana ia amalan masing-masing sahaja.
"Tidak menjadi satu keperluan seorang ketua parti menjadi pengerusi PN. Jadi saya rasa perkara itu masih lagi diperingkat perbincangan.
"Saya harap ia dapat diselesaikan mengikut cara perlembagaan. Insya-ALLAH kita yakin semua sedang melihat perkembangan yang sedang berlaku dalam PN ketika ini," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.
Sebelum itu beliau merasmikan Mydin Mart di sini dan hadir sama ialah Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin.
Ujar Ahmad Fadhli, ia menandakan bahawa PN ini satu kuasa yang senang digeruni kebangkitannya.
Beliau memberitahu, sama ada Menteri Besar Terengganu bakal Pengerusi PN, itu belum diketahui lagi tetapi Pas akan menghantar nama.
Media tempatan pada Selasa melaporkan foto pertemuan Muhyiddin bersama Ahmad Samsuri yang disertakan dengan status 'Alhamdulillah, insya-ALLAH' menguatkan lagi spekulasi mengaitkan Menteri Besar Terengganu itu antara calon tersenarai bagi jawatan Pengerusi PN.
Foto terbabit dimuat naik Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman menerusi Facebook.
Bagaimanapun menurut Mohd Syahir pertemuan antara Muhyiddin dan Ahmad Samsuri dibuat atas mandat diberikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.