JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Malaysia menyeru semua pihak agar bertenang dan tidak membuat tafsiran melampau berhubung kenyataan mengenai penyatuan orang Melayu yang disampaikan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kenyataan tersebut perlu dinilai secara rasional, matang dan berhemah selaras dengan prinsip kebebasan bersuara, tanpa dipengaruhi emosi atau spekulasi tidak berasas.
“Setiap pandangan yang disuarakan tidak seharusnya ditanggapi secara emosional sehingga membawa maksud yang salah dan tidak tepat.
"Semua pihak termasuk pimpinan politik dan jentera komunikasi merentas parti diseru agar mengelakkan sebarang bentuk kenyataan provokatif atau naratif spekulatif yang boleh mengeruhkan keadaan serta mencetuskan salah faham dalam kalangan rakyat," katanya dalam kenyataan.
Pada Sabtu lalu, Dr Muhamad Akmal Saleh menyatakan hasrat agar UMNO dan Pas dapat bersatu demi membentuk penyatuan orang Melayu.
Beliau menyuarakan pandangan itu ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO yang berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Mohd Hairi yang juga Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor menambah, politik yang matang menuntut semua pihak mengutamakan fakta, adab serta tanggungjawab bersama demi memelihara keharmonian dan kestabilan negara.
Tegas ADUN Larkin itu, Pemuda UMNO kekal komited memastikan kepimpinan parti berada dalam keadaan stabil, bersatu dan terus memberi tumpuan kepada agenda membela kepentingan rakyat, selain memperkukuh kestabilan politik negara.
"Ahli parti, penyokong dan masyarakat diingatkan agar tidak terpengaruh dengan permainan persepsi serta penyebaran maklumat separuh benar yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi politik.
“Setiap isu wajar ditangani secara berhemah, berpandukan maklumat yang sahih dan melalui saluran yang betul,” ujarnya.
Mohd Hairi menjelaskan menjadi tanggungjawab bersama semua pihak untuk memastikan wacana politik negara kekal sihat, beretika dan tidak mencetuskan ketegangan yang boleh menjejaskan kestabilan negara.
“Pemuda UMNO akan terus berdiri teguh mempertahankan kebenaran, menolak fitnah serta menyumbang kepada suasana politik yang lebih matang, harmoni dan berfokus kepada masa depan rakyat,” katanya.
Terbaharu hantaran Dr Muhamad Akmal di media sosialnya kembali mencetuskan tanda tanya.
Menerusi hantaran itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkenaan berkata, mungkin sudah tiba masanya beliau mengundur diri.
Sebelum ini, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menggesa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh segera meletak jawatan sebagai Exco dan melaksanakan pendirian beliau untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
DAPSY Kebangsaan dalam satu kenyataan berkata, ini kerana gimik 'keluar kerajaan' yang dimainkan oleh Muhamad Akmal dalam beberapa hari ini terbukti adalah bahan lawak politik apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan untuk bersama Kerajaan Perpaduan.