Isu pemalsuan dokumen pemain warisan: Polis rakam keterangan saksi FAM, JPN

Iklan
Rusdi

KUALA LUMPUR - Polis telah merakam keterangan saksi dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya (HM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, mereka antara sembilan individu termasuk pengadu yang telah dirakam keterangan.

Iklan
Iklan

"Bila ada keperluan nanti, polis akan bekerjasama (mendapatkan maklumat) dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Rusdi berkata, pihaknya telah menerima 45 laporan berhubung dakwaan isu berkenaan.

Iklan

"Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan setakat ini sembilan rakaman percakapan juga sudah diambil untuk membantu siasatan lanjut," katanya.

Pada 24 Disember lalu media melaporkan, FAM membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berhubung isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan HM.

Iklan

Pemangku Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan tindakan itu dibuat selaras dengan syor Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif selepas jawatankuasa berkenaan menyiapkan siasatan mereka baru-baru ini.