WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS) , Donald Trump pada Selasa berkata bahawa kerajaan interim Venezuela akan menyerahkan sehingga 50 juta tong minyak kepada AS dan hasil jualannya akan dikawal oleh dirinya.
“Pihak Berkuasa Interim di Venezuela akan menyerahkan antara 30 hingga 50 juta tong minyak berkualiti tinggi yang tertakluk kepada sekatan kepada AS.
“Minyak ini akan dijual pada harga pasaran, dan wang hasil jualan itu akan dikawal oleh saya, sebagai Presiden AS, bagi memastikan ia digunakan untuk memberi manfaat kepada rakyat Venezuela dan AS,"tulis Trump menerusi platform Truth Social miliknya.
Caracas dan Washington telah mencapai satu perjanjian untuk mengeksport minyak mentah Venezuela bernilai sehingga AS$2 bilion ke AS, sekali gus rundingan utama itu akan mengalihkan bekalan dari China, di samping membantu Venezuela mengelakkan pemotongan pengeluaran minyak yang lebih mendalam.
Perjanjian berkenaan merupakan isyarat kukuh bahawa kerajaan Venezuela bertindak balas terhadap tuntutan Trump supaya mereka membuka industri minyak kepada syarikat-syarikat AS atau berdepan risiko campur tangan ketenteraan yang lebih lanjut.
Trump berkata, beliau mahu Presiden interim, Delcy Rodriguez memberi AS dan syarikat swasta 'akses sepenuhnya' kepada industri minyak Venezuela.
Venezuela kini mempunyai berjuta-juta tong minyak yang telah dimuatkan ke atas kapal tangki dan disimpan dalam tangki simpanan, namun tidak dapat dihantar berikutan sekatan eksport yang dikenakan oleh Trump sejak pertengahan Disember.
Sekatan itu adalah sebahagian daripada peningkatan tekanan AS terhadap kerajaan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro yang memuncak dengan penangkapan beliau oleh tentera AS hujung minggu lalu.
Pegawai kanan Venezuela menyifatkan penangkapan Maduro sebagai satu penculikan dan menuduh AS cuba mencuri rizab minyak besar negara itu.
Setakat ini, pegawai kerajaan Venezuela dan syarikat minyak negara PDVSA tidak memberikan sebarang komen.
Harga minyak mentah AS jatuh lebih 1.5 peratus selepas pengumuman Trump, dengan perjanjian itu dijangka meningkatkan jumlah minyak Venezuela yang dieksport ke AS.
Aliran minyak berkenaan kini dikawal sepenuhnya oleh Chevron, rakan usaha sama utama PDVSA, di bawah kebenaran AS.
Chevron, yang telah mengeksport antara 100,000 hingga 150,000 tong sehari (bpd) minyak Venezuela ke AS, merupakan satu-satunya syarikat yang terus memuat dan menghantar minyak tanpa gangguan dari negara Amerika Selatan itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini walaupun sekatan dikenakan.
Masih belum jelas sama ada Venezuela akan mempunyai akses kepada hasil jualan tersebut.
Sekatan bermakna PDVSA dikecualikan daripada sistem kewangan global, akaun banknya dibekukan dan ia disekat daripada melaksanakan transaksi dalam dolar AS.
Venezuela telah menjual gred minyak utamanya, Merey, pada harga sekitar AS$22 setong lebih rendah daripada harga Brent untuk penghantaran di pelabuhan Venezuela, menjadikan nilai perjanjian itu sehingga AS$1.9 bilion.
Rodriguez, yang mengangkat sumpah sebagai presiden interim kelmarin, sendiri berada di bawah sekatan Amerika sejak 2018 atas dakwaan melemahkan demokrasi.- AFP