PulseLink solusi operasi bisnes PMKS

Iklan
PulseLink menggabungkan modul HR dan kewangan dalam satu aplikasi mudah alih.

TEKNOLOGI dan digitalisasi sering diangkat sebagai penyelesaian kepada masa depan perniagaan namun realiti di lapangan mendedahkan jurang yang tidak boleh dipandang ringan khususnya dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Buktinya, hanya sebahagian kecil PMKS benar-benar mengintegrasikan teknologi ke dalam operasi teras mereka. Selebihnya masih bergelut dengan sistem manual, lembaran Excel, fail kertas dan pengurusan gaya konvesional.

Iklan
Iklan

Kegagalan ini sering disalah tafsir sebagai keengganan untuk berubah. Hakikatnya, puncanya jauh lebih kompleks, ketakutan terhadap risiko, kekeliruan memilih penyelesaian sesuai serta kekangan kos terutamanya bagi PMKS yang beroperasi dengan margin tipis dan sumber terhad.

Dalam ekosistem digital yang lazimnya dibentuk untuk syarikat besar, PMKS terpaksa berdepan dengan perisian yang kompleks, mahal dan tidak selari dengan keperluan sebenar mereka.

Iklan

Di sinilah PulseLink Digital Sdn Bhd (PulseLink), sebuah syarikat teknologi tempatan memposisikan diri dengan pendekatan berbeza.

Berbeza dari segi ia bukan sekadar menjual perisian tetapi mencabar naratif dominan bahawa digitalisasi mesti mahal, rumit dan eksklusif.

Iklan

PulseLink sebaliknya menggabungkan pengurusan sumber manusia (HR) dan kewangan digital (fintech) dalam satu ekosistem bersepadu yang mensasarkan realiti sebenar PMKS.

Syed Hezri berkata PulseLink lahir daripada pengalaman PMKS menjadikan pemahaman terhadap cabaran operasi kecil sebagai DNA kepada pembangunan produk syarikatnya

Dalam temu bual bersama Sinar Harian baru-baru ini, Pengarah Urusan PulseLink, Dr Syed Hezri Syed Hisham berkata, syarikat itu sendiri lahir daripada pengalaman PMKS sekali gus menjadikan pemahaman terhadap cabaran operasi kecil sebagai DNA kepada pembangunan produknya.

“PMKS bukan seperti syarikat besar. Orang yang sama urus gaji, HR, akaun, operasi dan kadang-kadang jualan. Dalam konteks ini, automasi bukan lagi soal kecekapan semata-mata tetapi soal kelangsungan,” katanya.

Menurut beliau, jika syarikat besar berdepan isu penstrukturan semula dan penunjuk prestasi utama (KPI), cabaran PMKS jauh lebih asas tetapi kritikal iaitu mengekalkan tenaga kerja.

“Gaji sedikit lebih tinggi di tempat lain sudah cukup untuk menarik keluar pekerja, meninggalkan majikan kecil terkapai-kapai mencari pengganti,” katanya.

Realiti ini jarang dibicarakan dalam wacana transformasi digital namun bagi PMKS, kehilangan seorang pekerja boleh memberi kesan besar kepada operasi harian dan kelangsungan perniagaan.

Dalam dunia PMKS yang sentiasa bergerak keupayaan mengurus operasi secara mudah alih bukan lagi kelebihan sebaliknya satu keperluan. - Gambar kecil (Syed Hezri)

Syed Hezri berkata, pendekatan PulseLink ialah menggabungkan modul HR dan kewangan dalam satu aplikasi mudah alih.

Modul HR tersebut antaranya merangkumi pengurusan gaji, cuti, kehadiran, tuntutan dan prestasi manakala modul kewangan pula meliputi pengurusan aliran tunai serta ciri seperti pendahuluan gaji.

“Gabungan ini mungkin kelihatan ringkas, tetapi implikasinya besar. Dalam banyak organisasi kecil, masalah kewangan pekerja sering bertukar menjadi masalah produktiviti majikan.

“Dengan menyediakan ciri pendahuluan gaji, PulseLink cuba menangani isu kecemasan kewangan pekerja tanpa mereka perlu terjerumus kepada pinjaman tidak berlesen,” katanya.

Bagi Syed Hezri, ini bukan sekadar inovasi teknologi tetapi satu bentuk intervensi sosial dalam ekosistem pekerjaan berskala kecil.

Selain itu, PulseLink turut membaca satu lagi realiti PMKS yang sering terlepas pandang iaitu jurang generasi dalam tenaga kerja.

Antara ciri terkandung dalam modul HR termasuk kehadiran dan pekerja juga boleh memohon cuti secara dalam talian.

Dalam banyak perniagaan kecil, pengasas mungkin berusia 40-an atau 50-an manakala pekerja pula terdiri daripada generasi muda dengan keutamaan berbeza.

“Maka lahirlah konsep faedah fleksibel. Pekerja berkeluarga mungkin memilih insurans kesihatan sementara pekerja muda lebih cenderung kepada manfaat gaya hidup,” katanya.

Dengan memberi kuasa memilih kepada pekerja, PulseLink cuba menukar naratif manfaat pekerja daripada pendekatan satu saiz untuk semua kepada model yang lebih manusiawi.

Tambahnya, dalam dunia PMKS yang sentiasa bergerak keupayaan mengurus operasi secara mudah alih bukan lagi kelebihan sebaliknya satu keperluan.

Menerusi modul berasaskan awan dengan akses aplikasi iOS dan Android, majikan boleh memantau prestasi pekerja, mengenal pasti kelemahan dan merancang penambahbaikan.

Pekerja pula boleh memohon cuti, membuat tuntutan dan mengakses maklumat tanpa kertas serta birokrasi berlebihan.

Menariknya, dalam era hampir setiap produk teknologi melaungkan penggunaan kecerdasan buatan (AI), PulseLink memilih pendekatan lebih pragmatik.

AI yang dibangunkan syarikat itu dilatih khusus untuk menjawab soalan berkaitan HR dan operasi asas.

Walaupun bukan AI futuristik yang menjanjikan segalanya, Syed Hezri menegaskan ia berfungsi sebagai pembantu digital yang membantu PMKS memahami polisi, proses dan keputusan harian tanpa terlalu bergantung kepada perunding luar.

Dalam pada itu, aspek keselamatan data turut diberi perhatian serius. Beliau menegaskan bahawa semua maklumat pelanggan dan pekerja dilindungi melalui pematuhan ketat terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 selain kawalan keselamatan sistem bagi mengelakkan pencerobohan dan penyalahgunaan data.

Mengulas perjalanan PulseLink sejak ditubuhkan sekitar 2023, Syed Hezri mengakui salah satu halangan terbesar digitalisasi PMKS bukan teknologi tetapi persepsi.

“Ramai pengusaha kecil percaya sistem HR mahal, rumit dan mengganggu operasi harian,” katanya.

Bagi mengelakkan salah tanggapan ini, PulseLink menawarkan harga mampu milik, pelbagai pelan langganan serta percubaan percuma tanpa komitmen kewangan awal satu pendekatan yang masih jarang dalam industri perisian perusahaan.

Namun, teknologi semata-mata tidak mencukupi. PulseLink turut menekankan sentuhan manusia melalui sokongan pelanggan dalam tempoh 12 hingga 24 jam.

Selain itu, terdapat sesi pengenalan dan latihan awal kepada pengguna sama ada majikan, sumber manusia atau pekerja supaya tahu cara menggunakan sistem PulseLink dengan betul.

“Teknologi tanpa bimbingan hanya akan menambah tekanan kepada pengguna baharu,” katanya.

Dalam pada itu, menambah kepada dinamik syarikat, PulseLink turut menjalin kolaborasi strategik dengan GX Bank, bank digital pertama Malaysia.

Jika GX Bank memfokuskan pembiayaan dan kemudahan kewangan PMKS, PulseLink pula melengkapkan aspek operasi dalaman melalui automasi dan pendigitalan.

“Gabungan ini mencerminkan pembentukan ekosistem lebih menyeluruh, di mana keperluan kewangan dan operasi bergerak seiring, bukan berfungsi secara terasing.

“Pada masa sama, ia membuka potensi integrasi masa depan termasuk e-dompet dan pemindahan gaji digital,” katanya.

Melangkah ke 2026, Syed Hezri menekankan, PulseLink merancang memperkukuh modul kewangan dengan persoalan utama bukan lagi sama ada PMKS memerlukan teknologi tetapi perkhidmatan kewangan apa lagi yang boleh disepadukan bagi menyokong kelangsungan mereka.

Antara perancangan termasuk integrasi e-dagang, kerjasama strategik dengan peruncit serta penerokaan pasaran serantau seperti Indonesia, meskipun syarikat sedar cabaran itu memerlukan kajian mendalam dan rakan tempatan yang kukuh.

“Di sebalik semua modul dan perancangan, falsafah PulseLink cukup jelas, teknologi bukan lagi pilihan tetapi cara hidup.

 

 

“Sama seperti internet yang suatu ketika dahulu dianggap asing, AI dan automasi kini sedang melalui fasa sama,” katanya.

Pesan PulseLink kepada PMKS mudah tetapi signifikan, jangan takut dengan teknologi dan jangan rasa sudah terlewat.

Ujar Syed Hezri, inovasi tidak semestinya besar. Kadangkala ia bermula dengan langkah kecil mengurus gaji dengan lebih tersusun, memahami prestasi pekerja atau sekadar menjimatkan masa untuk fokus menjana pendapatan.

“Dalam dunia PMKS yang sering terperangkap antara survival dan pertumbuhan, kami cuba menawarkan sesuatu yang lebih realistik daripada janji besar, alat yang lahir daripada pengalaman, dibentuk oleh empati dan dipacu teknologi yang stabil serta relevan,” katanya.

Dan mungkin, itulah yang paling diperlukan oleh PMKS hari ini, pendekatan digitalisasi yang mesra, berkesan dan empatik bukan hanya gah di permukaan tetapi mampu menyokong kelangsungan sebenar perniagaan kecil.