KELAB gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea secara rasmi melantik Liam Rosenior sebagai pengendali baharu The Blues menerusi kontrak jangka panjang sehingga tahun 2032.
Jurulatih berusia 41 tahun itu sebelum ini mendedahkan pada Selasa bahawa beliau telah mencapai persetujuan secara lisan untuk menggantikan Enzo Maresca ketika mengadakan sidang media perpisahan bersama kelab Ligue 1 Perancis, Strasbourg.
Perjanjian berkenaan kemudiannya dimuktamadkan, sekali gus menyaksikan Rosenior kembali ke arena bola sepak England selepas pernah mengendalikan Derby County dan Hull City sebelum ini.
Rosenior yang berasal dari England menzahirkan rasa terharu atas pelantikannya sebagai ketua jurulatih Chelsea dan menyifatkan peluang itu sebagai satu penghormatan besar dalam kerjayanya.
“Saya amat berbesar hati dilantik sebagai pengendali Kelab Bola Sepak Chelsea. Ini adalah sebuah kelab yang mempunyai semangat unik serta sejarah gemilang dalam memenangi trofi,” katanya menerusi laman web rasmi kelab.
Menurut Rosenior, tanggungjawab utama beliau adalah untuk mempertahankan identiti dan budaya kemenangan kelab sambil membentuk pasukan yang mencerminkan nilai tersebut dalam setiap perlawanan.
“Tugas saya adalah mempertahankan identiti itu dan membentuk sebuah pasukan yang mencerminkan nilai-nilai tersebut dalam setiap perlawanan yang kami harungi, sambil terus berusaha memenangi trofi,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Chelsea atas kepercayaan yang diberikan dan berikrar untuk memberikan komitmen sepenuhnya demi kejayaan kelab.
“Kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk memegang peranan ini amat bermakna. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas peluang serta keyakinan yang diberikan, dan saya akan memberikan segala-galanya untuk meraih kejayaan bagi kelab ini,” katanya.