Langkah kanan Sze Fei–Nur Izzuddin di Terbuka Malaysia 2026

Iklan
Sze Fei-Nur Izzuddin mara ke Pusingan Kedua Terbuka Malaysia Super 1000 selepas mengatasi Lundgaard-Vestergaard di Stadium Axiata Arena pada Selasa. Foto: Bernama

PASANGAN profesional badminton lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, memulakan kempen Terbuka Malaysia 2026 dengan langkah positif, selepas mengalahkan pasangan Denmark Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dalam masa 38 minit di Axiata Arena, Kuala Lumpur di sini, pada Selasa.

Kemenangan ini amat bermakna selepas pasangan itu berjaya membalas atas kekalahan mereka pada pusingan pertama kepada lawan yang sama dalam kejohanan sama tahun lalu, menandakan persediaan mereka yang baik pada kejohanan pembuka tirai musim ini.

Iklan
Iklan

Sze Fei-Nur Izzuddin menunjukkan ketenangan dan ketajaman taktikal yang lebih baik sepanjang perlawanan, menang 21-15, 21-13 dalam kejuaraan Super 1000 di hadapan penonton tuan rumah.

Sze Fei memberi penghargaan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bekas pemain perseorangan lelaki negara Koo Kien Keat, atas sumbangan mereka dalam persiapan mereka.

Iklan

“Pertama sekali, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada BAM dan juga bekas pemain perseorangan lelaki negara Koo Kien Keat, kerana membantu kami dengan persiapan yang terbaik,” katanya.

Sze Fei berkata, Kien Keat memainkan peranan penting dalam memperkukuh pendekatan mental mereka, bukan sahaja dari segi perancangan permainan tetapi juga bagaimana mereka bersedia secara mental untuk menghadapi kejohanan itu.

Iklan

Beliau turut memuji Nur Izzuddin, dengan menyatakan bahawa rakannya itu memberikan permainan yang mantap di atas gelanggang sepanjang perlawanan.

Pasangan Malaysia itu akan meneruskan cabaran pusingan kedua pada Khamis ini dan akan berhadapan sama ada pasangan England Ben Lane-Sean Vendy, atau rakan senegara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri, yang akan bertemu dalam satu perlawanan pusingan pertama yang lain.

Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun, turut layak ke pusingan selanjutnya selepas meraih kemenangan ke atas pasangan Denmark Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen, 21-17 dan 21-18.

Mereka akan berdepan pasangan Jepun Hiroki Midorikawa dan Kyohei Yamashita, pada pusingan kedua.

“Kita kena bersedia sebab kejohanan ini semua lawan kuat, bukan boleh kata siapa pasti menang. Jadi kena tengok prestasi hari itu di gelanggang sana, siapa yang beraksi lebih konsisten, dia yang akan menang,” kata Wei Chong.

Sementara itu, satu lagi pasangan beregu lelaki negara Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong pula menewaskan satu lagi rakan sepasukan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, 11-21, 24-22 dan 21-11.

Mereka akan berhadapan sama ada pasangan pilihan utama kejohanan dari Korea Selatan Kim Won Ho-Seo Seung Jae atau pasangan China Chen Bo Yang-Liu Yi.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi pasangan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri selepas mereka tewas kepada pasangan dari England Ben Lane-Sean Vendy, 16-21, 21-16 dan 21-15. - Bernama