SHAH ALAM – Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong menegur sikap segelintir pemimpin Barisan Nasional (BN) yang masih berpegang kepada naratif bahawa gabungan itu perlu bersyukur kerana berada dalam kerajaan.
Beliau menegaskan bahawa pemikiran sedemikian perlu diubah kerana kepimpinan yang berprinsip tidak hanya bersandarkan kepada jawatan semata-mata.
“Bersyukurlah bukan kerana gelaran atau jawatan, tetapi kerana kepercayaan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita. Bersyukurlah kerana Malaysia kekal aman dan stabil hasil pengorbanan, pengalaman dan rasa tanggungjawab BN.
“Tanpa BN, Kerajaan Perpaduan tidak akan wujud. Tanpa BN, pembentukan dan kelangsungan kerajaan Persekutuan serta beberapa kerajaan negeri tidak akan dapat dilaksanakan dengan kestabilan seperti yang kita nikmati hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada masa sama, Choo Seong turut mengingatkan bahawa rakyat tidak menilai pemimpin berdasarkan kerusi atau jawatan yang disandang, sebaliknya menilai nilai yang dipertahankan oleh seseorang pemimpin.
Menurutnya, rakyat memandang tinggi pemimpin yang ikhlas, merendah diri, berani mempertahankan kebenaran walaupun dalam kesukaran, serta bekerja tanpa jemu untuk rakyat, berteraskan integriti dan dipandu oleh jati diri serta matlamat yang jelas.
“Politik bukan jalan pintas untuk kuasa, keistimewaan atau keuntungan peribadi. Politik adalah satu amanah.
“Jawatan bersifat sementara. Kuasa juga tidak kekal. Namun sikap, tindakan dan komitmen kita untuk berkhidmat akan terus dikenang walaupun gelaran sudah tiada. Pilih khidmat mengatasi kepentingan diri,” katanya.