SHAH ALAM - Kepulangan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari United Kingdom pada Isnin dilaporkan disambut meriah oleh pimpinan dan penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di lapangan terbang, meskipun ketika kedudukannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) terus menjadi perbincangan hangat.
Dalam suasana spekulasi mengenai pengganti jawatan itu masih berlarutan, Presiden Bersatu itu menerima kunjungan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang dikatakan membawa mandat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Selasa.
Perkembangan itu didedahkan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman menerusi satu hantaran bergambar memperlihatkan pertemuan Muhyiddin dan Ahmad Samsuri disertai kapsyen ringkas yang mencuri perhatian.
"Alhamdulillah. Insya-Allah,” tulis Syahir, yang juga Setiausaha Politik kepada Abdul Hadi Awang menerusi hantaran di laman Facebooknya itu pada Selasa.
Sebelum ini, PN dilihat berdepan pergolakan susulan krisis pentadbiran di Perlis yang menyaksikan pertukaran jawatan Menteri Besar daripada wakil Pas kepada Bersatu, sebelum Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN.
Sinar Harian gagal mendapatkan maklum balas Syahir untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Bagaimanapun, sebuah portal melaporkan Ahli Parlimen Bachok itu ketika dihubungi menjelaskan pertemuan berkenaan hanyalah pertemuan santai selepas Muhyiddin pulang dari luar negara.
Syahir seperti dilaporkan juga tidak mengesahkan atau menafikan sama ada pertemuan itu berkait dengan spekulasi pencalonan Ahmad Samsuri sebagai pengganti Muhyiddin bagi jawatan Pengerusi PN.
Beliau turut memaklumkan bahawa mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan diadakan dalam masa terdekat, namun tidak memperincikan tarikh atau agenda mesyuarat berkenaan.