'Terkejut terima panggilan anak meninggal dunia'

Iklan
Ayu Zana menunjukkan gambar anaknya, pelajar UiTM Merbok, Nur Ain Zulaisya yang maut kemalangan bersama sahabatnya.

REMBAU – Ketenangan sebuah keluarga bertukar pilu apabila sepasang suami isteri dikejutkan dengan panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang memaklumkan anak mereka terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 1, Jalan Chengkau–Panchang–Lubuk Cina, di sini, petang Ahad lalu.

Panggilan mengejutkan itu diterima ibu kepada Allahyarham Nur Ain Zulaisya Zahrain, 19, Ayu Zana Zahari, 45, yang ketika itu berada di Manjung, Perak.

Iklan
Iklan

Menurut suri rumah itu, dia dan suami pada mulanya menyangka panggilan tersebut satu kesilapan, namun luluh apabila dimaklumkan anak kedua mereka yang sedang menuntut Diploma Pengurusan Maklumat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau terlibat dalam kemalangan.

Jenazah mangsa dibawa ke UiTM Kampus Rembau untuk solat jenazah.

Iklan

“Kami dikejutkan dengan panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang memaklumkan anak kami terlibat dalam kemalangan.

“Kami sekeluarga bergegas ke Rembau sebelum tiba sekitar jam 1 pagi untuk membuat pengecaman mayat,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Rembau, di sini pada Isnin.

Iklan

Terdahulu, Ayu Zana berkata, dia sempat membuat panggilan video dengan arwah anaknya itu kira-kira jam 10 malam, sehari sebelum kejadian.

“Ketika itu kami berbual seperti biasa dan dia ada memaklumkan rakannya ingin menyewa motosikal kerana ada urusan kerja.

“Saya mengenali rakan arwah kerana mereka sangat rapat dan kedua-duanya mempunyai lesen motosikal,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Nur Ain Zulaisya menumpang motosikal Yamaha NVX yang ditunggang rakannya, Allahyarham Ismawanie Husna Ismail, 19, penuntut Diploma Komunikasi dan Media, ketika dalam perjalanan dari arah UiTM Rembau menghala ke Pekan Lubuk Cina.

Sejurus tiba di lokasi kejadian yang merupakan jalan selekoh, motosikal berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar besi penghadang.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara itu, ibu kepada Allahyarham Ismawanie Husna, Rusfalisa Alias, 47, berkata, anak keduanya itu pernah menyatakan hasrat untuk melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) demi membantu keluarga.

“Baru-baru ini dia beritahu mahu belajar sampai PhD supaya dapat gaji lebih baik untuk bantu keluarga, tapi hasrat itu tidak kesampaian.

“Kali terakhir saya berjumpa dengannya ketika dia pulang ke Kuala Pilah sempena cuti Krismas lalu dan tiada perubahan ketara, cuma dia kerap berkongsi makanan dengan saya,” katanya.

Difahamkan, jenazah kedua-dua pelajar UiTM itu akan dibawa ke UiTM Kampus Rembau untuk disolatkan sebelum dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing untuk dikebumikan.