SUNGAI PETANI – Tiga lelaki termasuk seorang pengawal keselamatan premis menjual telefon bimbit ditahan bagi membantu siasatan kes pecah masuk kedai terbabit yang dilaporkan berlaku pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, tiga lelaki berusia antara 17 hingga 40 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut berhubung kejadian yang berlaku di sebuah premis terletak di Jalan Lencongan Barat, di sini, awal pagi Isnin.
“Selepas menerima laporan kejadian, kita menahan tiga lelaki termasuk pengawal keselamatan yang bertugas ketika itu bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 3 hingga 6 pagi dan suspek dikatakan telah memecahkan cermin menggunakan objek untuk memasuki premis,” katanya kepada pemberita.
Sebelum ini, media melaporkan sebuah premis menjual telefon bimbit telah dipecah masuk sehingga menyebabkan beberapa barangan di dalam kedai terbabit hilang.
Dalam kejadian itu, pengawal keselamatan dilaporkan berdepan situasi cemas apabila diacu parang oleh suspek, namun bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Hanyan, setakat ini tiada senjata dirampas dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
“Kita merujuk kepada rakaman CCTV dan mengumpul keterangan bagi mengesahkan kenyataan yang diberikan,” katanya.
Jelas beliau, daripada tiga individu yang ditahan, seorang daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.